Jumat, 19 September 2008

Beberapa Amalan Menghidupkan Malam, Pagi Raya Aidilfitri

Dalam beberapa hari lagi Ramadan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah ‘Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah.

Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarus al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardu dan tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.

Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak memelihara fitrah selepas Ramadan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.

Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadan dan berakhir dengan sambutan Aidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT, di antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Hari Raya

Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya.

Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.

Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:

"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.

Aktiviti pagi raya

1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.

2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.

3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.

4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.

5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.

6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.

Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.)

Jangan Biarkan Hati Mati Ketika Menyambut Aidilfitri

Nabi Muhammad s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang boleh kita faham dari penjelasan maksudnya, bahawa dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badannya dan jika sebaliknya ia rosak, maka rosaklah seluruh badannya, itulah hati yang ada dalam diri manusia (dipetik sebahagiannya dari hadis keenam daripada kitab hadis 40 Imam Nawawi).

Baginda Rasulullah yang diutus oleh Allah ke dunia ini, bukan sahaja menitikberatkan persoalan yang besar seperti masalah kenegaraan kerana baginda seorang pemimpin negara, malah dalam persoalan mendidik jiwa juga adalah tanggungjawab baginda bagi memastikan manusia yang bernama Islam khususnya memiliki hati yang sejahtera dan hidup dengan ajaran Islam yang mudah untuk dipimpin kepada kebenaran agama.

Kerana hati manusia itu ada kaitannya dengan hidup atau mati peranan dan fungsinya, maka baginda mengingati umatnya agar sentiasa memeliharanya dengan baik agar ia terus subur dan hidup hanya untuk Allah.

Justeru, Islam ada memperkenalkan “Ad-Doruriyat al-Khams” iaitu lima perkara yang wajib dan mesti umat Islam pelihara iaitu:

1) Agama.
2) Akal.
3) Harta.
4) Jiwa atau hati.
5) Keturunan dan kehormatan diri.

Hati manusia itu merupakan salah satu perkara yang dititikberatkan oleh Islam, jika salah ditarbiah maka ia akan menyusahkan tuannya nanti di akhirat, sehubungan itu Allah SWT ada menegaskan menerusi ayat 36 surah al-Israa yang bermaksud:

“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati (manusia), semuanya itu akan diminta untuk dipertanggungjawabkan.”

Bagi memastikan agar hati itu terus subur dan hidup dengan Islam, maka baginda Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya agar jangan sekali-kali mematikan hati pada malam kedua-dua malam Aidilfitri dan Aidiladha. Hati mati dengan tidak bertakbir, bertahlil, bertahmid, bertasbih, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

Rasulullah ada bersabda: “"Barangsiapa yang bersembahyang pada malam Aidil Fitri dan Aidiladha tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati manusia dimatikan oleh Allah."

Kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:

Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.

Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.

Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.

Dan Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera, ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu’araa yang bermaksud:

“Iaitu di hari di mana harta dan anak-anak lelaki tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera).”

Iaitu sejahtera, bersih dan selamat dari penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.

Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?

Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:

1) Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.

2) Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.

3) Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.

4) Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.

5) Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.

6) Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.

7) Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.

Tanda-tanda hati yang rosak

1) Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.

2) Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.

3) Mersa seronok bergelumang dalam dosa.

4) Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.

5) Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.

6) Benci kepada orang-orang solih atau mereka yang suka melakukan kebaikan.

7) Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.

8) Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.

9) Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikitpun tidak takut kepada Allah.

10) Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.

Penyakit hati

1) Nifaq dan riya’ (menunjuk-nunjuk).

2) Bersangka buruk, mengumpat, menghina, subahat pada yang haram dan ragu-ragu.

3) Hasad dan dendam kesumat.

4) Sombong, bangga diri dan ego.

5) Bohong dan berputus asa.

6) Cinta mendalam kepada selain Allah.

7) Ikut hawa nafsu.

8) Keras hati (kerana tidak duduk dalam majlis ilmu).

9) Takut kepada selain Allah.

10) Belot dan khianat.

11) Suka memaki hamun orang lain.

12) Bergelumang dengan perkara dunia dan menjadikannya sebagai matlamat hidup.

13) Tidak ada perasaan baik kepada orang lain.

Kaedah rawatan penyakit hati

a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.

b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.

c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.

d) Khusyuk dalam solat.

e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.

f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.

g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.

h) Beriktikad dengan akidah yang betul.

i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.

j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.

m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.

n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.

o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang solih yang boleh dijadikan teladan.
Apabila seorang muslim merenung kepada perkara yang telah disebutkan di atas, Insya Allah dia akan menemui sesuatu yang boleh menjadikannya insaf dan sedar dan semoga mahu untuk melakukan perubahan dalam diri menuju kecemerlangan sebagai muslim yang bertakwa kepada Allah.

Konsep Idkhal As-Surur Pada Sambutan Hari Raya

Idkhal as-surur bermaksud (memasukkan rasa senang/gembira) kepada ahli keluarga khususnya pada menyambut hari raya adalah satu amalan sunat yang pernah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Kerana Idkhal as-surur itu bermatlamat agar dapat mewujudkan rasa gembira, mesra, kasih sayang antara sesama insan terutamanya terhadap kedua ibu bapa, adik beradik, sanak saudara atau kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai, kanak-kanak dan anggota masyarakat amnya.

Ia adalah amalan mulia yang boleh dikatakan berpaksi kepada firman Allah SWT menerusi ayat 13 surah al-Hujurat (49) yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.”

Jelas ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa matlamat utama penciptaan manusia di muka bumi ini adalah untuk berbaik-baik berdasarkan perkenalan sesama mereka, bagi mengeratkan hubungan intim di kalangan mereka.

Islam telah menetapkan garis panduan yang utuh dengan memasukkan rasa senag dan gembira di kalangan mereka sendiri bagi menjalani kehidupan yang penuh harmoni dan kedamaian yang hakiki.

Bagaimana keberkesanan idkhal as-surur di kalangan anggota masyarakat dijayakan?

Ia boleh diadaptasi menerusi pelaksanaannya secara praktikal:

1- Idkhal as-surur terhadap kedua-dua ibu bapa Iaitu dengan menunjukkan sikap hormat serta kasih terhadap mereka berdua, bukan kerana dengan kedatangan Syawal, malah sepanjang masa, kerana dengan sikap positif itu akan menggembirakan hati mereka dan tidak jadi masalah bagi mereka merestui setiap tindakan yang terbit dari diri anak-anak.

2- Idkhal as-surur terhadap adik-beradik Saling hormat-menghormati antara adik-beradik akan melahirkan rasa suka, mesra, kasih, dengan erti kata yang tua mengasihi yang muda dan yang muda menghormati dan mengasihi yang lebih tua.

3- Idkhal as-surur terhadap sanak saudara/kaum kerabat Dengan menziarahi bapa serta ibu saudara, sepupu dan sebagainya dengan penuh erat khususnya pada hari raya, akan menambahkan keutuhan kekeluargaan, kerana apabila seseorang itu menziarahi bapa saudaranya pada hari raya sebagai contoh, dia tidak akan ditanya kenapa dia datang, berbanding dengan hari biasa, jika ada kunjungan ziarah diadakan, sudah pasti tanggapan bapa saudara bahawa anak saudaranya itu mahu pinjam wang atau sebagainya.

Kesempatan bertemu perlu dimanfaatkan dengan memohon maaf, apatah lagi sebagai pangkat anak saudara, dengan cara ini akan menimbulkan rasa kasih bapa saudara terhadapnya, matlamat Idkhal as-surur tercapai dengan salang bermaafan.

4- Idkhal as-surur terhadap jiran tetangga, sahabat handai. Ia boleh dibuktikan dengan saling bermaafan, bertukar-tukar juadah hari raya untuk sama-sama rasa masakan masing-masing, menyahut undangan untuk ke rumah mereka dan mengundang mereka ke rumah kita. Kerana menyahut undangan mereka walaupun kesibukan dengan kunjungan dan sebagainya, akan membahagiakan tuan rumah yang rasa bangga dengan kehadiran, maka akan tercapailah maksud kegembiraan pada hari raya, ia tidak perlu menunggu apabila ada anjuran rumah terbuka.

5- Idkhal as-surur terhadap kanak-kanak Mereka adalah golongan yang sentiasa bersyukur terhadap apa yang mereka terima dari tuan rumah, apatah lagi mereka digembirakan dengan pemberian duit raya yang semakin tersohor mutakhir ini, walaupun ia mungkin diadaptasi dari budaya kaum lain, namun pendekatannya tidak merosakkan intipati ajaran Islam.
Mudah-mudahan dengan kesyukuran yang mereka tunjukkan itu, menjadi penyebab keluasan rezeki bagi mereka yang memberikan duit raya tersebut.

Ihya Di Malam-Malam Terakhir Ramadan

Baginda Rasulullah s.a.w apabila masuk sepuluh malam terakhir (bulan Ramadan), baginda menghidupkan malam-malam tersebut dengan mengejutkan isterinya dan mengikat kainnya (menunjukkan kesungguhan baginda pada malam tersebut dengan menjauhkan diri daripada bersama isteri-isterinya).

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Aishah r.a. sabda baginda s.a.w lagi yang bermaksud : Sesiapa yang bangun pada malam al-Qadr (beribadat) dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu diampunkan oleh Allah SWT. (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Kepentingan waktu malam dalam kamus Islam

Malam merupakan satu waktu yang hening dan penuh kedamaian, ia amat sesuai untuk dilakukan amal ibadat kerana pada waktu itu, ramai di kalangan manusia sedang tidur dan mungkin juga melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah seperti menonton pertandingan bolasepak secara langsung dan sebagainya.

Mereka dengan sendirinya boleh terjaga dari tidur walaupun tidak mengunci jam loceng untuk bangun, tetapi masa untuk Allah agak liat dan sukar untuk dilakukan, sehingga mereka menzalimi diri kerana tidak sanggup melakukan ibadat walaupun hanya dua rakaat.

Justeru, Islam melihat waktu malam adalah penting, kerana peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada waktu malam seperti turunnya al-Quran pada malam al-Qadr, penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah waktu malam, Israk Mikraj juga berlaku pada waktu malam, Qiyamullail waktu malam ia tidak berlaku pada waktu siang, kerana ia masa yang amat sesuai untuk mengadu nasib kepada Allah setelah penat bekerja pada siang hari.

Sesungguhnya Allah SWT memuji hamba-hambaNya yang sanggup bangun waktu malam semata-mata untuk beribadat, bermunajat kepada-Nya dan menjadikan waktu malam bagi menempah tempat di dalam Syurga-Nya, perkara ini disebut oleh Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (mereka tidak tidur di waktu biasanya orang tidur, kerana melakukan sembahyang malam), sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa tahut dan penuh pengharapan."

Firman Allah lagi dalam ayat 17-18 menerusi surah az-Zariyat: "Mereka (orang-orang yang bertakwa) sedikit sekali tidur di waktu malam - Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.

Malam al-Qadr di sepuluh malam terakhir Ramadan

Jelas dari apa yang disebutkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam dua hadis di atas, membayangkan kepada kita tentang kesungguhan baginda untuk bangun malam beribadat dan bermunajat kepada Allah, sedangkan dosa-dosa baginda yang telah lalu dan akan datang diampunkan Allah SWT.

Bukan sahaja baginda melakukannya secara bersendirian, malah memastikan agar isteri dan ahli keluarganya juga tidak membiarkan waktu malam berlalu begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti kerohanian sebagai jalan untuk menempah tempat dalam syurga.

Apatah lagi pada malam-malam terakhir Ramadan yang terdapat padanya malam al-Qadr

Allah SWT sebut dalam al-Quran, bahawa malam al-Qadr adalah lebih baik dari 1000 bulan, iaitu kira-kira 83 tahun empat bulan, ini bermakna jika seseorang itu menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan solat fardu berjamaah, tarawih, membaca al-Quran, Qiyamullail menepati malam al-Qadr, maka dia akan meraih pahala sebanyak 83 tahun empat bulan, sedangkan umurnya mungkin baru mencecah 63 tahun, seolah-olah pahalanya tahun ini melebihi dua puluh tahun daripada umurnya, inilah yang dikatakan rahmat dan bonus setahun beribadat.

Kerana pada malam al-Qadr juga para malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan, tugas nalaikat pula ada yang mencatat segala amalan yang tidak akan dikurangkan atau ditambah dengan sewenang-wenangnya.

Tetapi mengapakah masih ramai lagi di kalangan umat Islam dalam negara kita tidak bersungguh untuk merebut peluang keemasan ini yang hanya dating setahun sekali?

Menurut para ulama, antara sebab mengapa mereka tidak mengisi malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dengan amalan yang bermanfaat, kerana tidak memiliki iman yang kental, kurang membaca al-Quran, tidak berkawan dengan orang-orang yang bertakwa, orang-orang soleh, tidak istiqamah dalam mengamalkan amalan-amalan Islam, tidak memiliki ilmu pengetahuan yang cukup mengenai ajaran Islam sebenar.

Faktor yang memudahkan seseorang itu boleh bangun untuk berqiyamullail

Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:

1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.

3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.

4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.

5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; "Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat." Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.

7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma'thur seperti Ma'thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.

9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai 'Qailulah', iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.

10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.

12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.

13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!

Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda : "Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh." Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi.

Siri Tazkirah Terakhir

Alhamdulillah, dengan keizinan daripada Allah s.w.t., saya telah sampai ke siri yang terakhir dari siri penulisan tazkirah saya. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dapat menyampaikan dakwah, walaupun dengan ilmu yang serba kekurangan. Saya ingin mengucapkan ribuan terima-kasih kepada webmasters kerana memberi sokongan mereka kepada saya selama ini. Saya juga ingin mengucapkan terima-kasih kepada semua pelayar web ini yang sering mengikuti tazkirah saya. Saya memohon ribuan maaf sekiranya ternyata ada kesalahan dalam penulisan saya sama ada disengajakan atau tidak disengajakan, ini adalah kelemahan seorang hamba Allah s.w.t. yang daif lagi kerdil. Saya ingin berpesan kepada pembaca supaya meneruskan pembacaan dalam artikel-artikel bercorak Ilmu Islam, walaupun ramai yang hanya suka pada artikel-artikel mengenai isu sensasi dan semasa. Kita MESTILAH INGAT bahawa tujuan kita hidup di bumi Allah s.w.t. ini adalah semata-mata untuk meninggikan KALIMAH TAUHID YANG MAHA ESA. Hanya dengan mempunyai Ilmu Islam yang Kukuh dan Semangat Jihad yang Utuh dapat kita melaksanakannya. Kalau tidak kita hanya menumpang seronok atas perjuangan orang lain tanpa kita sendiri melibatkan diri ke dalam perjuangan!

Akhir kata saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL-FITRI, MAAF DZAHIR DAN BATIN, Insya-Allah kita akan berjumpa di alam siber ini lagi tapi dalam jangka waktu yang agak panjang. Sebelum mengakhiri tazkirah ini, marilah kita mempelajari satu hadis yang panjang semoga ianya dapat memberi sesuatu yang bermanafaat untuk kita.

Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadhan, satu angin akan bertiup dari bawah 'Arasy yang dinamakan ' Muthirah'. Lalu bergeseranlah daun-daun pokok-pokok syurga dan juga gagang pintu-pintu syurga, maka kedengaran dari yang demikian itu satu bunyian merdu yang tidak pernah didengari bunyian yang lebih merdu dari itu sebelumnya. Kemudian muncullah bidadari-bidadari sehingga mereka berhenti di anjung syurga. Mereka kemudian menyeru ' Adakah sesiapa yang ingin meminang kami supaya Allah mengahwinkannya dengan kami?' Kemudian mereka berkata lagi ' Wahai Ridhwan penjaga syurga! Malam apakah ini?' Dia akan menjawab kepada mereka dengan ' Labbaik' kemudian dia berkata ' Malam ini adalah malam pertama dari bulan Ramadhan. Dibukakan pintu-pintu syurga untuk umat Muhammad'. Nabi s.a.w. bersabda lagi: ' Allah s.w.t. akan berfirman " Wahai Ridhwan! Bukakanlah pintu-pintu syurga dan wahai Malik tutuplah pintu-pintu neraka bagi mereka yang berpuasa dari umat Ahmad. Wahai Jibrail! Turunlah ke bumi dan tangkaplah syaitan yang sangat-sangat degil lalu ikatlah mereka dengan rantai kemudian lontarkanlah mereka ke dalam laut supaya mereka tidak dapat merosakkan puasa umat Muhammad kekasihKu".

Baginda bersabda lagi: 'Allah s.w.t. akan memerintahkan seorang penyeru pada setiap malam dari Ramadhan supaya dia menyeru tiga kali' Adakah sesiapa yang ingin memohon sesuatu supaya Aku mengurniakannya? Adakah sesiapa yang ingin bertaubat supaya Aku menerima taubatnya? Adakah sesiapa yang ingin memohon keampunan supaya Aku mengampuninya? Siapakah yang sanggup memberi hutang kepada si kaya yang tidak mungkin akan miskin, yang akan membayar hutangnya sepenuh-penuhnya tanpa dizalimi.

Pada waktu berbuka puasa pada setiap hari dari bulan Ramadhan Allah s.w.t. akan membebaskan sejuta jiwa dari neraka yang kesemuanya telah ditentukan untuk masuk neraka. Apabila tiba hari terakhir dari bulan Ramadhan, Allah s.w.t. akan membebaskan pada hari itu sebanyak mana yang Dia telah bebaskan dari awal bulan sehingga ke akhirnya.

Apabila berlaku Lailatul-Qadr Allah s.w.t. akan memerintahkan Jibrail a.s. supaya turun bersama satu kumpulan malaikat. Bersama mereka terdapat bendera hijau. Dia akan memacak bendera itu di atas Kaabah. Jibarail a.s. mempunyai seratus sayap. Di antaranya terdapat dua sayap yang tidak dibuka kecuali pada malam itu sahaja. Lalu dia membuka keduanya pada malam itu sehingga keduanya akan menutup dari timur ke barat. Kemudian pada malam tersebut Jibarail a s. akan mendorong malaikat-malaikat sehingga mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk, bersolat atau berzikir. Maklaikat-malaikat itu akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar.

Hadis Fadhilat Ramadhan - 9

Alhamdulillah, kita sudah berada pada sepuloh hari terakhir Ramadhan di mana Allah s.w.t. telah menutup pintu neraka kepada hamba-hambaNya yang soleh dan beriman. Kita akan memepelajari beberapa hadis yang menekankan betapa pentingnya beriktikaf dalam masa sepuloh hari yang terakhir ini. Ini adalah untuk memastikan kita mendapat keberkatan pada malam Lailatul-Qadr. Suasana berada di rumah mungkin agak sukar bagi kita untuk mendapatkannya sepertimana yang telah dijelaskan pada siri tazkirah yang lepas.

Daripada Ibnu 'Abbas r.a. berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
' Orang yang beriktikaf bahawa dia terpelihara dari dosa-dosa sedangkan dia diberi ganjaran amal-amal kebaikan seperti orang yang melakukan kebaikan-kebaikan itu kesemuanya'.

Huraian Ringkas.

Dua faedah I'tikaf yang khusus telah dinyatakan di dalam hadis ini.

Pertama, dengan sebab I'tikaf seseorang itu akan terpelihara dari dosa-dosa. Kalau bukan dalam keadaan I'tikaf, kadang-kadang akan wujud keadaan yang mendorong seseorang itu terlibat dengan dosa kerana kecuaian atau tersilap dan betapa besarnya kezaliman seseorang apabila dia melakukan maksiat di waktu yang begitu berkat. Disebabkan I'tikaf, seseorang itu akan terpelihara dan terselamat dari keadaan tersebut.

Kedua, disebabkan I'tikaf banyak sekali amal-amal kebaikan seperti mengiringi jenazah, menziarahi orang sakit dan lain-lain tidak dapat dilakukan oleh orang yang beriktikaf. Oleh kerana itu ganjaran mana-mana amal yang tidak dapat dibuat kerana berada di dalam keadaan beri'ktikaf masih juga terus didapati walaupun ia tidak dapat dilakukan. Allahu Akbar! Betapa besar rahmat dan limpah kurnia Allah s.w.t. Seseorang itu hanya melakukan satu ibadat tetapi dia mendapat ganjaran untuk sepuluh amalan.

Hadis Fadhilat Ramadhan - 8

Hari ini kita akan menamatkan siri petikan hadis-hadis mengenai Lailatul-Qadr. Insya-Allah kita akan belajar hadis-hadis mengenai bab iktikaf pada siri-siri akan datang.

Daripada Anas r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

' Apabila tiba Lailatul-Qadr, turunlah Jibrail a.s. bersama satu kumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingat Allah s.w.t. dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah maka Allah s.w.t. akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikat-Nya. Dia berfirman:

" Wahai malaikat-Ku! Apakah balasan seorang pekerja yang menyempurnakan kerjanya?" Mereka berkata : " Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempunakan ganjarannya." Allah berkata lagi : " Wahai malaikat-Ku, hamba-hamba-Ku lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhu -Ku ke atas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa - Demi kemulian dan kehebatan-Ku, kemurahan dan ketinggian-Ku dan demi kedudukan-Ku pasti Aku menerima doa-doa mereka. Kemudian Allah s.w.t. berkata ( kepada hamba-hamba itu ) : " Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Ku tukarkan segala keburukan kamu dengan kebaikan." Nabi s.a.w. berkata: 'Lalu mereka pun pulang dalam keadaan terampun'.

Huraian Ringkas.

Kedatangan Jibrail a.s. bersama para malaikat dinyatakan juga di dalam Al-Quran sebagaimana yang diterangkan sebelum ini. Banyak hadis-hadis juga menyebutnya. Ada hadis yang menyebutkan bahawa Jibrail a.s. akan menyuruh malaikat-malaikat supaya pergi ke rumah orang-orang yang sedang berzikir lalu berjabat tangan dengan mereka. Di dalam kitab Ghaliatul-Mawaiz terdapat nukilan dari kitab Ghuniyyah karangan Syaikh Abdul Qadir Jailani rah. di dalam hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. dinyatakan bahawa dengan arahan Jibrail a.s. itu, para malaikat akan bertebaran dan tidak ada satu rumah pun samada kecil atau besar, di darat atau di laut yang ada di dalamnya orang-orang beriman kecuali mereka memasukinya untuk bersalaman tetapi mereka tidak akan masuk ke rumah yang ada di dalamnya anjing, khinzir, orang berhadas besar kerana zina ataupun gambar.

Berapa banyak rumah orang Islam yang ada tergantung gambar sebagai perhiasan lalu mereka merugikan diri mereka dengan tangan-tangan mereka sendiri dari ni'mat rahmat yang begitu besar. Orang yang menggantungkan gambar hanyalah seorang tetapi dia menjadi sebab penghalang dari masuknya malaikat rahmat ke rumah itu lalu dia telah merugikan seluruh isi rumah itu bersamanya.

Selasa, 16 September 2008

Tazkirah Ramadan Nuzul Quran Merubah Sikap Muslim


Muslim dan al-Quran

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.

Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu Jahal.

Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza.

Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat.

Waktu turunnya al-Quran?

Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.

Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar?

Dalil daripada al-Quran:

1- Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”

2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid : “Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).”

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari Ali Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.

Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran

Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w. seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran.

Cara bagaimana al-Quran diturunkan

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: “Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).”

Surah pertama turun dalam al-Quran

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.

Ayat terakhir turun dalam al-Quran

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadis tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.” ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.” Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.”

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya.

Apakah yang ada dalam al-Quran?

Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya.

Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.

Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.

Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan.

Sikap Muslim terhadap al-Quran

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud: “Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.” Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT.

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud : “Bagaimana kmu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?”

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.”

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.”

Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini, Amin.

Rujukan

1- Kaifa Nahya Bil Quran – Nabih Zakariya Abd’ Rabbih – Dar al-Haramain, Mesir – 1983.
2- Kaifa Nataddab Maal Mashaf – Muhammad Rejab Farjani –Dar al-‘Itisom, Mesir 1976.
3- www.islamonline.net
4- www.islamweb.net 5- www.islam-qa.com

Rebut Peluang Pengampunan Di Malam Lailatul Qadar

Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.

Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi juga pernah sebut dalam hadis: "sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya."

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,"wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya."

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.

Janji-janji Allah pada hamba-Nya

Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu 'madah' yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : "mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin."

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : " Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq."

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah 'maliyyah' walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan. Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.

Hadis Fadhilat Ramadhan – 7 (Lailatul Qadar)

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda.

Dari Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Lailatul-Qadr. Lalu baginda bersabda:

“ Ianya berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh malam yang akhir. Sesungguhnya ia berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21,23,25,27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat padanya dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan. Di antara tanda-tandanya ialah keadaannya terang dengan langit yang bersih, tenang lagi suyi, tidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sdang memancar ( kerana banyak Nur kerohanian ). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Di antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Ianya terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu.' (sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit) ”.

Huraian Ringkas.

Beberapa alamat Lailatul-Qadr sudah jelas diterangkan oleh hadis ini. Ada juga alamat atau tanda yang telah diriwayatkan oleh mereka yang pernah mengalami malam tersebut khasnya ialah apabila matahari terbit pada paginya, ia akan terbit tanpa sinaran yang memancar kuat. Tanda ini banyak di dapati di dalam hadis-hadis dan ia selalu didapati.

Hazrat Abdah bin Abi Lubabah r.a. berkata, ' Saya telah merasai air laut pada malam 27 Ramadhan dan sesungguhnya saya telah mendapatinya betul-betul tawar'. Hazrat Ayyub b Khalid rah. pula berkata, " Saya terpaksa mandi pada suatu malam. Saya telah mandi dengan air laut lalu mendapatinya tawar. Kisah ini berlaku pada malam yang ke 27 '. Para masyaikh menulis bahawa di dalam Lailatul-Qadr semua benda akan bersujud. Sehingga pokok pun akan rebah ke bumi dan kemudian akan bangun ke tempatnya kembali. Walau bagaimanapun perkara-perkara sebegini adalah berkaitan dengan kasyaf, ia tidak dapat disedari oleh semua orang.

Semoga hadis ini dan kisah-kisah tersebut dapat menjadi pengajaran kepada kita, Insya-Allah.

Hadis Fadhilat Ramadhan – 6

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda.

Alhamdulillah hari ini masuk hari yang ke 16 kita berpuasa dan malam ini adalah malam yang penuh barakah iaitu malam 17 Ramadhan. Pada malam inilah lebih dari 1437 tahun yang lalu bermulanya sejarah Islam. Malam inilah yang dinamakan sebagai Nuzul Quran atau turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Ar-Rasul s.a.w. Maka siri perjuangan kita juga asalnya dari tarikh inilah, ianya akan terus disambung oleh jenerasi pejuang Islam sehingga hari kiamat, Insya-Allah. Maka rantaian perjuangan kita tidak mungkin akan terputus sehingga Allah s.w.t. mengkiamatkan alam ciptaan-Nya.

Kita akan terus belajar dari hadis seterusnya sebagai tambahan khazanah ilmu Islam kita, Insya-Allah.

Dari Anas r.a berkata, telah masuk bulan Ramadhan lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

“ Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi ”.

Huraian Ringkas.

Di sini marilah kita mengambil iktibar dari beberapa kisah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan Wali-wali Allah s.w.t. yang beribadat ketika berada di Bulan Ramadhan.

1. Umar Al-Khattab r.a. akan sentiasa bersolat setiap malam sehingga waktu Subuh menjelma.

2. Uthman r.a. setelah berpuasa sepanjang hari, akan menghabiskan malam dengan bersolat. Beliau hanya tidur sekejap di bahagian permulaan malam. Beliau akan mengkhatamkan Al-Quran di dalam satu rokaat solatnya.

3. Hazrat Qatadah rah. mengkhatamkan seluruh Al-Quran di dalam setiap tiga malam Ramadhan. Sementara di dalam sepuluh malam terakhir beliau akan mengkhatamkannya setiap malam.

4. Seorang Wali Allah yang terkenal iaitu Ibrahim Adham pula sepanjang Ramadhan tidak akan tidur sama ada siang ataupun malam.

5. Imam Syafie rah. pula di sepanjang Ramadhan menghabiskan enam puluh kali Al-Quran di dalam solatnya sama ada di waktu siang ataupun malam.

Semoga sedikit sebanyak dari kisah-kisah di atas dapat kita mengambil pelajaran darinya. Walaupun diakui sukar untuk kita lakukan lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, tetapi kita mestilah bertekad untuk mendapatkan fadhilat Lailatul-Qadr tahun ini. Siapa tahu kita tidak akan berjumpa lagi Ramadhan pada tahun hadapan.

Kamis, 11 September 2008

Bersedekah Jangan Kira Bangsa dan Agama

SEMPENA bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam digalakkan bersedekah di dalam kerangka menambah amal ibadah.

Tafsiran sedekah itu sendiri amat luas. Sedekah wang ringgit dan tenaga dalam bentuk amalan kebajikan seperti membantu orang lain dalam kesusahan, memberi apa-apa khidmat yang diperlukan oleh sesiapa sahaja, mengajar ilmu dan sebagainya.

Alhamdulillah dalam masyarakat kita lihat umat Islam dan pelbagai organisasi Islam dilihat berlumba-lumba mengadakan bermacam-macam program terutamanya memberi bantuan berbentuk makanan dan kewangan. Namun ini nampaknya semarak hanya di kalangan orang Islam.

Ada juga orang Islam yang mengadakan jamuan berbuka puasa dan dijemput sahabat dan kenalan bukan Islam. Islam tidak melarang malah amalan ini dilihat boleh meningkatkan persahabatan dan perpaduan anggota masyarakat.

Namun saya ingin melihat sedekah kewangan atau makanan ini tidak dihadkan kepada umat Islam sahaja. Yang miskin dan yang lapar bukan daripada kalangan orang Islam sahaja.

Lihatlah di sekeliling kita, pasti terdapat orang bukan Islam yang menderita. Agama Islam tidak pula mensyaratkan sedekah ini hanya dikeluarkan kepada orang Islam sahaja. Malah sesetengah ulama berpendapat zakat itu sendiri boleh diberi kepada kalangan bukan Islam yang miskin untuk menjinakkan mereka kepada Islam.

Masjid-masjid yang memberi makanan kepada orang ramai hendaklah juga membuka pintu sedekah mereka kepada orang bukan Islam yang miskin.

Biarlah mereka juga merasai nikmah dan rahmah Allah SWT pada bulan Ramadan yang berkat ini. Orang Islam yang beratur untuk mengambil makanan seperti bubur lambuk di Masjid Kampung Baru dan masjid-masjid lain bukannya semua daripada kalangan yang tidak mampu, malah yang ramai datang hanya untuk merasa bubur lambuk yang masyhur itu dan malah mungkin lebih daripada mampu untuk layak mendapat makanan percuma.

Pelbagai majlis dianjurkan oleh korporat untuk anak-anak yatim yang boleh dikatakan semuanya anak-anak yatim Islam. Bagaimana pula dengan anak-anak yatim yang bukan Islam dan memang banyak terdapat rumah-rumah anak yatim agama-agama lain.

Mereka juga perlu perhatian daripada masyarakat Islam. Mungkin lebih berkesan kalau peruntukan-peruntukan korporat-korporat tersebut disampaikan kepada pengurusan rumah anak yatim untuk mengurus kehidupan mereka sepanjang tahun daripada berhabis dengan acara berbuka puasa yang ada unsur pembaziran dan kadangkala maksiat (acara hiburan sehinggakan waktu solat tidak dihormati).

Selamat berpuasa dan semoga amalan pada bulan Ramadan berkekalan sepanjang tahun.

Kelebihan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi.

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi.

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi.

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Panduan Ramadan Bagi Saudara Baru

Bagi golongan yang baru memeluk Islam, pertama kali mengerjakan ibadat puasa mungkin satu pengalaman yang agak berbeza dengan kehidupan terdahulu.

Mungkin juga ada kalangan saudara baru beranggapan ibadat berpuasa ini sesuatu yang agak 'berat' untuk dikerjakan.

Saudara baru harus memahami bahawa puasa merupakan satu ibadah yang menunjukkan tanda ketaatan serta menambahkan ketakwaan kepada Allah.

Golongan yang baru memeluk Islam tidak seharusnya merasakan ibadat puasa ini 'suatu paksaan' dan membebankan. Sebaliknya, apabila pertama kali mengerjakan puasa, mereka boleh melakukannya mengikut kemampuan masing-masing.

'Lakukan Yang Terbaik Berdasarkan Kemampuan'

Perkara ini berdasarkan firman Allah dalam surah al- Baqarah, ayat 185 yang bermaksud, Allah memberi kemudahan dan bukan kesukaran kepada kita supaya dapat mencukupkan bilangan bulan Ramadan tersebut,katanya.

"Apa yang dimaksudkan dalam firman Allah di atas ialah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Sewaktu bersahur, mungkin ada di kalangan saudara baru yang tidak biasa makan makanan yang 'berat'. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya minum seteguk air, susu atau kurma, sudah memadai kerana dalam bersahur itu ada barakahnya"

Keupayaan berpuasa bergantung kepada kemampuan seseorang. Jika dalam pukul 12 tengahari terasa lapar dan tidak boleh meneruskan puasa, dibolehkan berbuka.Jika keesokannya juga tidak dapat menahan puasa, dia juga boleh berbuka. Begitu juga dengan hari seterusnya.

Apa yang penting katanya, saudara baru ini perlu memahami tuntutan berpuasa ini satu kewajipan dan dilakukan kerana Allah.

Dalam minggu kedua berpuasa, mungkin puasa tersebut boleh dilanjutkan sehingga ke pukul 2 petang. Bagi saudara baru, mungkin tahun pertama tidak boleh berpuasa penuh, tapi apabila tahun kedua berpuasa, dalam minggu kedua atau ketiga bermungkinan individu tersebut sudah dapat berpuasa sepenuhnya.

Perbanyakkan Amalan Menjelang Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

Bagi individu yang baru memeluk Islam mungkin menganggap amalan solat sunat Tarawih juga agak sukar untuk dikerjakan.

Dalam hal ini, amalan solat sunat ini boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian. Bagi saudara baru, mereka boleh melakukannya bersendirian di rumah.

Budaya masyarakat Malaysia hari ini dilihat kurang menyemarakkan sepuluh malam terakhir Ramadhan ini.

"Kita menyatakan kelebihan sepuluh malam terakhir, tapi kita sendiri tidak menggunakan malam ini untuk amal ibadat sepenuhnya, sebaliknya sibuk dengan perkara lain seperti membeli belah atau membuat kuih raya.

"Jadi, apabila kita menyuruh mereka yang baru memeluk Islam ini mempraktikkan sepuluh malam terakhir ini atau 'mengejar' malam Lailatul qadar, mungkin mereka berasa pelik. Untuk itu kita harus mengubah sikap dan perbanyakkanlah amalan-amalan sunat,"katanya.
Formula bagi saudara baru ini apabila melalui sepuluh malam terakhir ini juga tetap sama iaitu berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika tidak mampu untuk melakukan solat-solat sunat, mereka boleh melakukan amalan lain seperti berzikir.

Motivasi Nabi Di Bulan Ramadhan al-Mubarak

RAMADAN adalah antara bulan yang mulia, kerana terdapat di dalamnya beberapa pengajaran yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim bagi mempertingkat hubungan dan memperkasa diri sebagai muslim sejati di sisi Allah SWT seperti berlakunya perang Badr Kubra yang terjadi pada bulan Ramadan.

Ini membuktikan bahawa bulan Ramadan khususnya dari pelaksanaan ibadat puasa bukan penghalang untuk mencapai matlamat kejayaan dari apa yang dirancang oleh mereka yang mahukan kejayaan.

Ramadan juga memberi peluang kepada hamba-hamba Allah untuk mendapatkan sebanyak mungkin koleksi pahala yang tidak ada pada bulan-bulan lain.

Justeru, setiap kali menjelang Ramadan, amat malang jika kita tidak merebut peluang untuk menambahkan ketakwaan, kerana matlamat berpuasa adalah untuk menjadi golongan hamba yang bertakwa.

Apa sebenar definisi takwa? Perkara ini telah dihurai oleh Saidina Ali Bin Abi Talib k.w.j. Takwa itu ialah takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan al-Quran, reda dengan sedikit yang ada pada diri dan bersiap untuk bertemu dengan Allah.

Motivasi Nabi menjelang Ramadan

Salman al-Farisi berkata, bahawa baginda Rasulullah s.a.w. berkhutbah di akhir bulan Syaaban, sabda baginda:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya.

"Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardu, sementara yang melakukan satu perkara fardu (pada bulan Ramadan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardu."

Ramadan adalah bulan kesabaran, dan pahala sabar itu akan membawa ke syurga. Ia juga bulan bertolak ansur, berkasih sayang, bulan yang menambahkan rezeki golongan mukmin.

Sesiapa yang memberi dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya keampunan seluruh dosa-dosa yang pernah dilakukannya serta pelepasan dari api neraka. Baginya juga pahala yang tidak berkurangan dari orang yang berpuasa.

Para sahabat bertanya: "Sebenarnya kami tidak ada apa yang boleh dijadikan juadah berbuka puasa untuk yang berpuasa, bagaimana kami boleh meraih pahala?"

Baginda menjawab: "Allah tetap akan memberi pahala menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar, atau seteguk air atau setitis susu untuk orang berpuasa."

Ini kerana sabda baginda, pada 10 pertama Ramadan adalah rahmat, 10 pertengahan disediakan keampunan dan 10 akhir Ramadan adalah pelepasan daripada api neraka.

Justeru, tegas baginda, perbanyakkan pada bulan Ramadan dengan empat perkara:

"Dua perkara daripadanya adalah untuk mendapatkan keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak, kamu mesti melakukannya.

"Dua perkara untuk mendapatkan Tuhan kamu itu adalah dengan mengucap syahadat La Ilaha Illallah (tiada Tuhan melainkan Allah) dan memperbanyak Istighfar.

"Sementara dua perkara yang mesti kamu lakukan adalah memohon kepada Allah untuk memasuki syurga-Nya dan minta dijauhkan daripada memasuki neraka-Nya.

"Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum kepadanya dari telagaku, di mana dia tidak akan merasa dahaga selepas meminumnya hingga dimasukkan dalam syurga." (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dalam kitab sohihnya, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban).

Pemakaian Hijab Di Bulan Ramadan

PERKARA yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslimah, adalah supaya ada dalam hatinya rasa takut jika ibadat puasanya tidak diterima di sisi Allah SWT, dengan mentaati segala titah perintah Allah dengan menyembah dan tunduk kepada-Nya dan bukan 'menyembah' bulan Ramadan.

Memakai hijab (tudung kepala) khusus di bulan Ramadan adalah antara perkara atau amalan yang baik yang akan diberi ganjaran pahala yang besar, tetapi bagaimana pula di luar Ramadan?

Jadikan pemakaian hijab di bulan Ramadan sebagai permulaan perubahan dalam diri. Ketahuilah bahawa memakai hijab adalah perintah secara langsung daripada Allah, bukannya cadangan Nabi Muhammad atau pandangan ulama� fiqh. Ia wajib dipakai bukan sahaja dalam bulan Ramadan, malah sepanjang hidup hanya di depan lelaki ajnabi atau wanita kafir, sementara bersama suami, ayah, ayah mertua, adik-beradik lelaki atau mahram adalah tidak wajib.

Mohonlah kepada Allah dalam Ramadan, agar dicampakkan dalam hati rasa tanggungjawab untuk memakai hijab, rujuklah ayat 30-31 surah an-Nur (24) dan ayat 59 surah al-Ahzab (33) dan mentelaah kitab agama yang membicarakan persoalan hikmah Allah mewajibkan pemakaian hijab ke atas muslimah.

Mohonlah keampunan Allah terhadap kesalahan tidak memakai hijab sebelum Ramadan pada tahun ini. Ramadan memberi peluang seluas-luasnya untuk kembalikan hamba kepada Tuhan. Rasakanlah dalam diri tanggungan dosa-dosa besar kerana tidak berhijab yang merupakan kesalahan amat besar yang hanya boleh ditebus dengan taubat kepada Allah.

Akhir sekali, perbetulkan niat untuk menjadi hamba Allah yang baik, kerana kita tidak tahu, apakah kita boleh bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan. Sehubungan itu baginda s.a.w. bersabda:

"Kalaulah hamba-hamba Allah tahu apa yang ada dalam bulan Ramadan, mereka akan bercita-cita agar sepanjang tahun itu dijadikan Allah sebagai bulan Ramadan."

Sama-samalah kita merenung agar Ramadan tahun ini adalah yang terbaik yang pernah kita lalui.

Panduan Iktikaf Di Bulan Ramadan

Di antara rangkaian ibadah dalam bulan suci Ramadan yang sangat dipelihara sekaligus diperintahkan (dianjurkan ) oleh Rasulullah s.a.w adalah iktikaf. Setiap muslim dianjurkan (disunatkan) untuk beriktikaf di masjid, terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Iktikaf merupakan pendekatan ibadat yang sangat efektif bagi muslim dalam memelihara keislamannya khususnya dalam era globalisasi, materialisasi dan informasi masa kini.
Definisi Iktikaf

Para ulama mendefinisikan iktikaf iaitu berdiam atau tinggal di masjid dengan adab-adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadah dan untuk mendekatkan kepada Allah SWT.

Ibnu Hazm berkata: Iktikaf adalah berdiam di dalam masjid dengan niat mendekatkan diri (taqorrub) kepada Allah SWT pada waktu tertentu pada siang atau malam hari. (al MuhallaV/179)

Hukum Iktikaf

Para ulama telah berijmak bahawa iktikaf khususnya 10 hari terakhir bulan Ramadan merupakan suatu ibadah yang disyariat dan disunatkan oleh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beriktikaf pada bulan Ramadan selama 10 hari.

Aisyah, Ibnu Umar dan Anas r.a meriwayatkan: "Adalah Rasulullah s.a.w beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan" (HR. Bukhori & Muslim).

Hal ini dilakukan oleh baginda hingga wafat, kecuali pada tahun wafatnya, baginda beriktikaf selama 20 hari.

Demikian halnya para sahabat dan isteri baginda sentiasa melaksanakan ibadah yang amat agung ini. Sehubungan itu, Imam Ahmad berkata: " Sepengetahuan saya tak seorang pun ulama mengatakan iktikaf bukan sunat."

Fadhilat (keutamaan) iktikaf
Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad: Tahukah anda hadis yang menunjukkan keutamaan iktikaf?

Imam Ahmad menjawab : Tidak, kecuali ia hadis lemah (daif).

Namun demikian tidaklah mengurangi nilai ibadah iktikaf itu sendiri sebagai taqorrub kepada Allah SWT. Dan cukuplah keuatamaannya bahawa Rasulullah s.a.w, para sahabat, para isteri Rasulullah s.a.w dan para ulama salafus soleh sentiasa melakukan ibadah ini.

Jenis-jenis iktikaf

Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.

Iktikaf sunnat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah SWT seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Dan iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: "Kalau Allah SWT menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf.

Waktu iktikaf

Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.

Ya'la bin Umayyah berkata: " Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf."

Syarat-syarat iktikaf

Orang yang iktikaf harus memenuhi kriteria-kriteria sebagai berikut:

1. Muslim
2. Berakal
3. Suci dari janabah (junub), haid dan nifas.
Oleh kerana itu, iktikaf tidak diperbolehkan bagi orang kafir, anak yang belum mumaiyiz (mampu membezakan), orang junub, wanita haid dan nifas.

Rukun-rukun iktikaf

1. Niat (QS. Al Bayyinah : 5), (HR: Bukhari & Muslim tentang niat)
2. Berdiam di masjid (QS. Al Baqarah : 187)

Di sini ada dua pendapat ulama tentang masjid tempat iktikaf. Sebahagian ulama membolehkan iktikaf di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu.
Hal itu dalam rangka menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.

Ulama lain mensyaratkan agar iktikaf itu dilaksanakan di masjid yang diguna untuk membuat solat Jumaat, sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.

Pendapat ini dikuatkan oleh para ulama Syafiiyah bahawa yang afdal iaitu iktikaf di masjid jami', kerana Rasulullah s.a.w iktikaf di masjid jami'. Lebih afdal di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.

Awal dan akhir iktikaf

Khusus iktikaf Ramadan waktunya dimulai sebelum terbenam matahari malam ke-21. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w : " Barang siapa yang ingin beriktikaf denganku, hendaklah ia beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan (HR. Bukhari). 10 (sepuluh) di sini adalah jumlah malam, sedangkan malam pertama dari sepuluh itu adalah malam ke-21 atau 20.
Adapun waktu keluarnya atau berakhirnya, kalau iktikaf dilakukan 10 malam terakhir, iaitu setelah terbenam matahari, hari terakhir bulan Ramadan.

Akan tetapi beberapa kalangan ulama mengatakan yang lebih mustahab (disenangi) adalah menuggu sampai solat hari raya.

Hal-hal yang disunatkan waktu beriktikaf

Disunatkan agar orang yang beriktikaf memperbanyak ibadah untuk bertaqorrub kepada Allah SWT ,seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, selawat ke atas Nabi s.a.w, doa dan sebagainya serta termasuk juga di dalamnya pengajian, ceramah, majlis ta'lim, diskusi ilmiah, mentelaah buku tafsir, hadis, sirah dan sebagainya.

Hal-hal yang diperbolehkan bagi mutakif (orang yang beriktikaf)

1. Keluar dari tempat iktikaf untuk menghantar isteri, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terhadap isterinya Sofiyah ra. (HR. Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Menyisir atau mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan.
3. Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya .
4. Makan, minum, dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.

Hal-hal yang membatalkan iktikaf

1. Meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.
2. Murtad ( keluar dari agama Islam )
3. Hilangnya akal, kerana gila atau mabuk
4. Haid atau Nifas
5. Berjimak (bersetubuh dengan isteri) (QS. 2: 187), akan tetapi memegang tanpa syahwat, tidak apa-apa sebagaimana yang dilakukan Nabi dengan isteri- isterinya. 6. Pergi solat Jumaat (bagi mereka yang membolehkan iktikaf di surau yang tidak digunapakai untuk solat Jumaat).

Selasa, 09 September 2008

Lailatul Qadr Malam Misteri Yang Dirindui Kedatangannya

Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Hadis Fadhilat Ramadhan - 5

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Insya-Allah dalam 2-3 siri yang akan datang kita akan belajar dari hadis-hadis mengenai Lailatul-Qadr kerana lebih kurang seminggu sahaja lagi kita akan berada di dalam 10 hari terakhir Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Dari Hazrat Abu Hurairah r.a., berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesiapa yang berdiri beribadat di malam Lailatul-Qadr dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu”.

Huraian Ringkas

Maksud berdiri beribadat ialah mendirikan solat. Termasuk di dalam hukum itu juga ialah sibuk dengan lain-lain ibadat seperti tilawah Al-Quran, zikir dan lain-lain. Maksud ' mengharapkan ganjaran ' ialah tidak berdiri kerana menunjuk-nunjuk dan lain-lain niat yang buruk bahkan dengan penuh ikhlas berdiri semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dan juga dengan niat untuk mendapatkan ganjaran. Khattabi rah. berkata bahawa maksudnya ialah dengan meyakinkan ganjaran yang akan didapati seseorang berdiri dengan hati yang gembira bukannya dengan merasakan ianya sebagai beban lantas berdiri dengan perasaan yang malas. Sememangnya satu perkara yang jelas terbentang bahawa setakat mana kuatnya keyakinan dan kepercayaan terhadap ganjaran pahala, sebanyak itulah mudah untuk menanggung segala kesusahan di dalam beribadat. Inilah sebabnya sejauh mana seseorang itu maju dalam menghampirkan dirinya kepada Allah s.w.t. sebanyak itulah dia lebih bersungguh-sungguh di dalam ibadat.

Perlu juga dimaklumi bahawa yang dimaksudkan dengan dosa di dalam hadis di atas dan hadis-hadis seumpamanya ialah dosa-dosa kecil kerana di dalam Al-Quran,bila sahaja dosa besar disebutkan maka bersamanya disebutkan juga - kecuali mereka yang bertaubat. Berdasarkan perkara inilah, para ulama telah sepakat ( ijma' ) bahawa dosa besar tidak akan diampunkan tanpa bertaubat. Jadi bila sahaja dosa disebutkan di dalam hadis maka para ulama mengkhususkannya dengan dosa kecil sahaja.

Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan baik kita, Inya-Allah.