Rabu, 09 September 2009

Penyelewengan kalimah Allah

(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)? (al-Baqarah: 75)

Huraian

Golongan yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah golongan ahli agama Yahudi yang amat arif dengan kitab-kitab suci mereka iaitu golongan yang mendengar kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s di dalam kitab Taurat tetapi kemudiannya mereka mengubah maksud dan membuat penafsiran yang menyeleweng daripada ruang lingkupnya.

Mereka melakukan pemesongan ini bukan kerana tidak mengetahui maksudnya yang sebenar tetapi mereka benar-benar tahu tentang pemesongan itu dan sengaja melakukannya. Mereka melakukan perbuatan ini semata-mata kerana dorongan hawa nafsu dan kepentingan peribadi mereka sendiri.

Golongan yang seumpama inilah sudah pasti menyeleweng lebih jauh lagi daripada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kerana mereka mempunyai hati yang tidak bertanggung jawab dan berpegang teguh dengan kepalsuan yang mereka sendiri mengetahui kepalsuannya.

Sesungguhnya tiada harapan lagi bagi golongan seperti ini akan beriman kerana orang yang beriman itu bersifat mudah, senang dan lembut dan hatinya sentiasa terbuka kepada cahaya iman.

Tabiat orang yang beriman bersifat lurus, malu dan segan melakukan pemesongan dan penyelewengan sedangkan golongan tersebut lebih berkesanggupan menentang dakwah Islam dan mengadakan fitnah ke atasnya.

Kesimpulan

Orang-orang yang beriman hendaklah berhati-hati apabila berdepan dengan golongan Yahudi atau segolongan orang-orang yang mendengar Kalam Allah lalu membenarkan dan beriman kepada ayat-ayat Allah.

Golongan seperti ini tetap ada sebagaimana segolongan manusia yang mendengar Kalam Allah dalam Taurat dan mereka pasti akan membenarkan kebenarannya tetapi tetap menyelewengkannya hanya kerana hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri.

-Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kenapa manusia diuji oleh Allah SWT?


Oleh : Ustaz Zainuddin Hashim

Dalam ayat kedua surah al-Mulk, Allah berfirman yang bermaksud: "Dia (Allah) yang mencipta kematian dan kehidupan bertujuan untuk menguji siapakah di kalangan kamu yang paling amalannya."

Ayat ini menunjukkan, bahawa setiap daripada kita tidak terlepas atau dibiarkan begitu sahaja tanpa diuji oleh Allah, ia tidak lain adalah untuk mengetahui kebenaran iman kita kepada-Nya atau sebaliknya, hakikat ini telah disingkap oleh Allah menerusi ayat 2-3 surah al-Ankabut yang bermaksud: Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata, kami beriman kepada Allah, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Sesungguhnya Kami (Allah) telah menguji orang-orang terdahulu daripada mereka semata-mata untuk mengetahui mereka benar-benar beriman atau mereka berdusta untuk beriman kepada Allah.

Tetapi kenapa manusia diuji, apakah hikmah atau rahsia di sebalik ujian yang diterima?

Para ulama bersepakat, bahawa hikmah yang boleh disimpulkan dalam forum ini, antaranya :

1- Untuk mencapai pengabdian hakiki kepada Allah SWT.

2- Ujian yang menimpa umat Islam secara khusus, adalah untuk mematangkan mereka dalam kehidupan di muka bumi ini..

3- Bertujuan untuk menghapuskan dosa yang dilakukan oleh manusia.

4- Bertujuan untuk memperolehi pahala serta memartabatkan kedudukan mereka di sisi Allah SWT.

5- Dengan adanya ujian, ia memberi peluang kepada manusia untuk memikirkan akan segala
kesalahan yang dilakukan pada diri sendiri dan orang lain di masa lampau.

6- Ujian merupakan satu pengajaran untuk kembali bertauhidkan kepada Allah.

7- Ujian juga mampu untuk menghilangkan rasa ego dalam diri dan menyediakan jalan untuk mendekati Allah.

8- Ujian ditimpakan ke atas manusia adalah untuk menyedarkan mereka akan kelebihan yang ada pada diri mereka setelah diuji.

9- Ujian juga berperanan untuk mendidik manusia menjadi matang dan mantap dalam segenap aspek kehidupan mereka.

10- Untuk mengenal kawan sebenar atau kawan yang berkepentingan, ia boleh didapati setelah adanya ujian daripada Allah.

11- Ujian juga mampu untuk mengingatkan manusia akan segala kesalahan sebagai persiapan untuk bertaubat kepada Allah.

12- Ujian mampu menyingkap hakikat sebenar dunia yang menjanjikan pelbagai tipu daya..

13- Ujian mampu untuk mengingatkan manusia akan kelebihan nikmat kesihatan dan kurniaan Allah.

14- Ujian menjanjikan kerinduan manusia untuk memasuki syurga Allah.

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.

Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.

Pemimpin Dan Solat

Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.

Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”

Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.

Pemimpin Dan Zakat

Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.

Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.

Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.

Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar

Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)
Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.

Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”

Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin

Selasa, 08 September 2009

Kegemilangan Dan Keruntuhan Andalus

Daripada Berita Harian Online, 20 April 2008. Tajuk: Ulul Albab: Meratapi Andalus Demi Merapatkan Umat, oleh Abdurrahman Haqqi. Permusuhan, kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan Islam di Sepanyol.

MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.

Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing. Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.

Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.

Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.

Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.

Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.

INTI PATI:

Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

FAKTA:

Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.

Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.

Tariq ibni Ziad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus.

Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.
Hasil Nukilan : Dr. Danial Zainal Abidin

Musuh dalami Islam untuk menentangnya

Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Marilah kita menyedari bahawa antara sebab tersebarnya kemungkaran, jenayah serta maksiat adalah memandang ringan dalam perkara agama Islam. Allah telah memberi amaran dalam al-Quran (maksudnya): Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (at-Taubah: 122)

Ini menunjukkan bahawa memahami ajaran agama Islam itu adalah perkara yang wajib ke atas setiap lelaki dan perempuan. Wajib ke atas setiap umat Islam memahami perkara dasar dalam agama Islam. Mereka juga perlu mengetahui perkara Islam serta apa yang boleh membatalkan iman serta Islam. Juga dalam perkara ibadat agar ibadat yang dijalankan itu diterima Allah, bukannya melakukan ibadat secara jahil.

Perkara ini adalah menjadi fardu ain ke atas umat Islam mempercayainya. Manakala dalam perkara fardu kifayah adalah hendaklah ada umat Islam yang memahami perkara agama secara mendalam supaya rujukan dalam perkara agama oleh masyarakat. Perkara ini termasuk dalam soal menjaga agama kerana agama adalah perkara yang lebih penting dalam hal-hal yang lain dalam kehidupan.

Ahli ilmu sosiologi berpendapat bahawa rukun kehidupan manusia itu adalah memelihara agama, nyawa, akal fikiran, maruah diri dan keturunan serta memelihara harta benda.. Semua perkara itu adalah wajib dan menjadi rukun dalam kehidupan manusia, tetapi memelihara agama adalah perkara yang pertama, kerana agamalah yang menentukan baik buruknya kita dalam kehidupan ini.

Tanggungjawab memelihara agama adalah tanggungjawab yang menyeluruh. Iaitu kepada semua termasuk diri sendiri, pemimpin masyarakat dan pemimpim negara. Seluruh pihak perlu menjaga agama agar seluruh kehidupan ini tidak boleh dipisahkan daripada agama.

Imam al-Ghazali telah menyebut dengan tegas (maksudnya) agama itu asas bagi kehidupan manusia, manakala kekuasaan atau pemerintah merupakan pengawas, kalau tidak ada asas akan runtuh manakala jika tiada pengawas maka sia-sia.

Hari ini agama diperkecilkan, dipandang ringan serta dikira sebagai remeh-temeh. Maka kehidupan manusia menjadi runtuh dan musnah. Ramai di kalangan anggota masyarakat tenggelam di dalam kemungkaran dan maksiat.

Pada masa yang sama apabila orang-orang yang memerintah tidak berasaskan kepada agama, maka pemerintahan menjadi sia-sia. Pemerintah tidak boleh menjadi pengawas dalam kehidupan manusia sebaliknya lebih ramai menjadi pengkhianat dan merosakkan masyarakat.

Itulah padahnya apabila kita memperkecilkan urusan agama Islam, yang memberi kemuliaan kepada umat Islam ialah ajaran agama Islam. Islam telah memuliakan bangsa Arab yang buta huruf. Setelah mereka menganut Islam, mereka dapat memimpin dunia. Banyak bangsa-bangsa dalam dunia yang menganut ajaran Islam serta berpegang dengan Islam menjadi bangsa yang kuat serta mempimpim umat Islam.

Digantikan kaum lain

Allah SWT menjadikan pemimpin umat Islam silih berganti di kalangan bangsa yang menganut Islam dan kuat berpengang dengan agama Islam. Firman Allah SWT (maksudnya): Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (At-Taubah: 39)

Allah SWT meyeksa umat Islam dengan adanya bangsa dan kumpulan yang lain yang menganut agama Islam dan mempelajari agama Islam dan berpegang dengan ajaran Islam. Setelah bangsa Arab lemah dalam pengangannya dalam agama Islam Allah SWT menggantikan dengan bangsa Kurdis kemudiannya Tukri. Begitulah seterusnya.

Percayalah bahawa al-Quran adalah petunjuk dan mukjizat yang berterusan sehingga kiamat. Kedudukan agama Islam ini diketahui dan dikaji oleh musuh-musuh Islam yang membuat perancangan untuk menentangnya dan bukan untuk beriman. Seorang Perdana Menteri British menyatakan bahawa selagi orang Islam berpegang dengan kitab ini iaitu al-Quran selama itulah kuasa-kuasa Barat tidak boleh menguasai dan merendah-rendahkan orang Islam.

Malah mereka berusaha supaya orang Islam meninggalkan agama mereka. Walaupun tidak beriman dengan agama Islam tetapi sekurang-kurangnya tidak beramal dengan ajaran agama mereka. Oleh kerana itu agenda dan perancangan untuk menjauhkan orang Islam daripada agama berlaku sehingga kini. Termasuk dalam program globalisasi yang dilakukan oleh Barat yang menganggap umat Islam sebagai pencabar dan penghalang, mereka berusaha untuk melemahkan umat Islam dengan perancangan untuk mengurangkan sekolah-sekolah agama, mengawal ajaran Islam, khutbah Jumaat, kuliah agama di masjid adalah antara agenda penjajah musuh-musuh Islam. Semua ini dilakukan oleh penyeru-penyeru ke arah neraka jahanam yang dilahirkan di kalangan umat Islam sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w.(maksudnya) : Akan ada penyeru-penyeru ke arah neraka jahanam, barang siapa yang mengikutnya, maka dia akan dicampak sama ke neraka jahanam. Apabila Huzaifah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. supaya menjelaskan siapa mereka. Rasulullah s.a.w. menyatakan mereka adalah daripada golongan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu.

Oleh kerana itu wajib kita mempertahankan agama Islam walaupun dalam keadaan kita mencari kehidupan di dunia ini, kerana yang memandu kepada kemajuan dunia adalah agama Islam. Kemajuan yang tidak berpandukan kepada al-Quran hanya akan menjadi sebagai jalan dan lebuh raya untuk menuju ke neraka jahanam.

Firman Allah (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya) ; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahrim: 6)

Kenaikan gaji menurut Fiqh Islam


Kenaikan gaji menggembirakan kakitangan awam. Kita perlu melihat perkembangan ini melalui pelbagai hakikat dan sudut berbeza bagi menilai kesan dan masa depan masyarakat terutamanya golongan sederhana dan rendah.

Rakyat juga perlu menilai kesan dan masa depan golongan bawahan seperti petani, nelayan, buruh kampung kerana mereka adalah aset kepada kuasa beli negara yang tidak boleh dipandang ringan di samping modal insan yang perlu dibangunkan.

Oleh itu, kita cuba melihat kenaikan gaji kakitangan awam ini dari sudut positif dan negatif secara seimbang dan membuat imbangan antara kedua-duanya.

Kesan positif

Kesan positif dari sudut kenaikan ini amat jelas dengan kenaikan taraf sosio ekonomi sebahagian rakyat terutamanya golongan pertengahan. Kenaikan ini memberikan kelegaan kepada golongan yang berpendapatan sederhana seperti polis dan askar berpangkat rendah yang sememangnya perlu dinaikkan taraf sosio ekonomi mereka.

Dengan ini, ia memberikan peningkatan keupayaan beli bagi golongan yang terbabit dengan kenaikan gaji.

Kesan negatif

Apabila berlaku kenaikan gaji kakitangan awam, akan menyebabkan berlaku tuntutan kenaikan gaji pekerja swasta. Ia akan menyebabkan kenaikan harga barang dan menaikan kos hidup rakyat.

Ini berdasarkan amalan biasa mana-mana syarikat yang pasti mengekalkan margin keuntungan. Maka kos bagi kenaikan gaji pekerja akan dipindahkan kepada pembeli melalui kenaikan harga produk pengeluaran dan caj perkhidmatan.

Hakikatnya, sebelum gaji kakitangan awam dinaikkan, harga beberapa barangan sudah mula dinaikkan oleh peniaga-peniaga sebagaimana yang telah disiarkan akhbar.

Secara realiti, kerajaan tidak mampu menahan dan memaksa peniaga tidak menaikkan harga barangan mereka sebagaimana berlaku sebelum ini terutamanya ketika kenaikan harga minyak dan sebagainya kerana harga barangan ditentukan oleh permintaan pasaran, keperluan pengguna, kos dan keupayaan barangan itu sendiri.
Fenomena ini akan menyebabkan golongan yang tidak terlibat dengan kenaikan gaji terutamanya golongan yang hanya bersifat sebagai pengguna akan semakin turun taraf sosio ekonomi mereka untuk tempoh lima tahun akan datang, manakala sosio ekonomi kakitangan awam pula yang naik taraf pada hari ini akan turun semula selepas lima tahun akan datang.

Golongan pengguna yang terdiri daripada buruh kampung, petani sederhana dan miskin akan tertekan kerana margin simpanan mereka akan semakin berkurangan akibat kenaikan kos sedangkan pendapatan mereka adalah di tahap sama.

Pengekalan kuasa beli golongan kaya dan kelemahan kuasa beli golongan miskin menyebabkan syarikat pengeluaran terpaksa mengambil keuntungan dengan menaikkan harga jualan atau meningkatkan caj perkhidmatan.

Tetapi dalam sistem Islam, sekalipun syarikat tidak menaikkan harga barang, tetapi keuntungan mereka bertambah akibat pertambahan kuantiti pengeluaran kerana kuasa beli golongan kaya dan miskin sama-sama mengalami kenaikan melalui sistem agihan zakat dan seumpamanya.

Kenapa Islam mementingkan golongan miskin?

Dari sudut Islam, golongan miskin dan kaya adalah ketentuan daripada Allah SWT dan diuji dengan keadaan masing-masing. Banyak terdapat di dalam al-Quran dan hadis berkenaan dengan tanggungjawab, peranan dan kelebihan membantu orang susah dan miskin.

Dari sudut makro ekonomi pula, golongan miskin adalah aset penting yang perlu dibangunkan. Jika di dalam sesebuah negara yang penduduk majoritinya adalah miskin, maka kuasa beli adalah rendah dan lemah. Justeru, jualan barangan, edaran produk atau caj khidmat yang disediakan oleh golongan berpendapatan dan golongan kaya tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Menaikkan taraf orang-orang miskin sehingga mampu bersaing dan berjalan seiringan dengan orang lain merupakan ciri penting kepada pembangunan ekonomi dan melariskan produk yang dikeluarkan.

Golongan miskin terabai cukup banyak kedapatan di negara kita. Ulama Pelapis Selangor sendiri telah menemui dan membantu orang-orang miskin di Selangor yang dikategorikan cukup tegal. Golongan miskin tegal ini tidak ditemui di negeri-negeri yang dianggap miskin seperti Kelantan tetapi banyak kedapatan di negeri maju seperti Selangor dan Johor.

Apabila kenaikan gaji berlaku, bermakna taraf sosio ekonomi mereka naik dan meningkat. Dalam masa yang sama, jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh mereka juga meningkat, dan ini akan menyebabkan kemasukan kepada kerajaan juga bertambah. Hal ini sama dengan sistem zakat, apabila kenaikan gaji berlaku, bermakna kutipan zakat juga akan meningkat.

Tetapi perbezaannya adalah, jika kutipan cukai daripada kakitangan awam meningkat akibat kenaikan gaji, tetapi ia belum menjamin peningkatan taraf sosio ekonomi orang miskin dan golongan sederhana kerana kutipan itu belum tentu diagihkan kepada golongan miskin kecuali dalam bentuk ihsan.

Berbeza dengan sistem zakat di mana zakat (iaitu zakat mal mustafad atau harta perolehan) yang dikutip daripada kakitangan awam yang layak pasti akan diagihkan dua perlapannya kepada orang fakir dan miskin.

Ini berlaku melalui sistem zakat di mana agihan itu bukannya ihsan, bukan sagu hati kepada penerima, tetapi ia adalah hak si fakir dan miskin. Jika kerajaan Islam tidak memberikan zakat kepada si fakir dan si miskin maka ia adalah satu kesalahan. Kerana belanjawan kutipan zakat telah ditentukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Berbeza dengan kerajaan sekarang, jika ia tidak memberikan satu sen pun kepada fakir dan miskin, maka ia bukannya kesalahan kerana belanjawan dan alirannya ditentukan oleh pemerintah, bukan sistem yang tetap sebagaimana zakat.

Perlu disedari bahawa, zakat adalah sistem di dalam negara Islam manakala cukai pula tidak boleh menjadi sumber tetap kepada negara Islam. Di dalam konteks negara kita pada hari ini, zakat bukanlah sebagai satu sistem negara kerana ia dijalankan tidak sampai satu pertiga daripada sistem sebenar zakat dan aspek-aspek penting zakat cukup-cukup diabaikan. Bahkan sistem yang menjadi sumber pendapatan negara kita ialah sistem percukaian Rom yang dihidupkan kembali oleh golongan Barat, seterusnya dipraktikkan di negara kita.

Antara tanda dan bukti yang jelas berkaitan dengan hakikat ini ialah, golongan yang tidak membayar cukai adalah kesalahan undang-undang di dalam negara kita dengan harta mereka disita dan sebagainya, manakala golongan yang tidak membayar zakat pula bukanlah satu kesalahan undang-undang.

Berbeza dengan sistem zakat Islam, di mana golongan yang tidak membayar zakat adalah kesalahan undang-undang negara Islam manakala sebahagian besar cukai dalam bentuk sekarang seperti cukai jualan dan seumpamanya adalah bercanggah dengan hukum Islam dan ia adalah haram.

Melalui sistem Islam ini, jika golongan kakitangan awam dinaikkan gaji, maka secara langsung dan pasti taraf sosio ekonomi golongan miskin juga akan naik kerana zakat yang terkutip secara pasti dan wajib akan mengalir kepada golongan miskin sebanyak dua perlapan.

Tetapi dengan sistem sekarang, apabila golongan kakitangan awam dinaikkan gaji, tetapi taraf sosio ekonomi golongan miskin belum tentu akan naik kerana sistem cukai sekarang tidak menetapkan secara wajib agihannya kepada orang miskin dan golongan yang memerlukan melainkan dalam bentuk ihsan yang sangat kecil berbanding kadar agihan zakat yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Melalui kenaikan gaji di dalam sistem ekonomi bukan Islam yang diamalkan sekarang akan menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin jauh. Dan hakikat inilah yang bercanggah dengan dasar Islam melalui penetapan hukum seperti zakat dan seumpamanya bagi menaikkan taraf golongan miskin dengan pertambahan kemasukan orang kaya seterusnya mendekatkan jurang antara dua golongan tersebut.

Di dalam sistem ekonomi negara menurut hukum dan prinsip Islam, duit dan kekayaan negara dicairkan oleh rakyat, manakala sistem ekonomi negara kita sekarang, duit dicairkan dan dikontrol oleh kerajaan.

Sebagai contoh, jika duit dan harta cair negara sebanyak RM100 trilion, maka jumlah tersebut dipegang dan dikontrol oleh kerajaan melalui sistem penswastaan, sistem percukaian dan sebagainya. Apabila kerajaan ingin menambah rizabnya, maka cukai akan dinaikkan (kadangkala tanpa disedari oleh rakyat).

Oleh itu, kadar cukai boleh naik dan boleh turun berpandukan kepada keperluan menurut kehendak mereka yang menerajui kerajaan itu sendiri.
Tetapi di dalam sistem Islam, jumlah tersebut dialirkan dan dicairkan oleh rakyat dan pencairannya dikontrol oleh sistem dan hukum Islam manakala kerajaan berfungsi sebagai pelaksana kepada hukum yang telah ditetapkan.

Oleh itu, kita dapati, kerajaan Islam dan ulama hebat macam mana sekalipun tidak boleh menaik dan menurunkan kadar kutipan zakat, usyur dan sebagainya sesuka hati.
Pencairan duit oleh rakyat ini dibuktikan secara praktikal, antara yang jelasnya ialah tindakan Sayidina Umar mengosongkan perbendaharaan Baitulmal sehari dalam setahun sehingga tidak tinggal satu dirham pun.

Segala harta perbendaharaan tersebut diagihkan kepada seluruh rakyat sebagai suntikan modal untuk dicairkan.. Sekalipun Baitulmal kosong sehari setahun, tidak lama selepas dikosongkan, tidak lama selepas itu ia akan kembali penuh akibat pertambahan kutipan zakat, usyur dan sebagainya kesan daripada pertambahan modal rakyat.

Penutup

Kenaikan gaji kakitangan awam adalah sesuatu yang baik. Ia dapat menaikkan taraf sosio ekonomi mereka yang berkhidmat membangunkan negara terutamanya polis dan askar yang sememangnya banyak berkorban untuk negara.

Tetapi pada masa yang sama, dasar dan sistem ekonomi sekarang memberikan kesan negatif akibat kenaikan gaji kakitangan awam terutamanya kepada golongan miskin dan fakir di kalangan bukan kakitangan awam.

Penyelesaian kepada kesan negatif ini hanya dapat diatasi melalui sistem ekonomi Islam yang menyeluruh. Perbankan Islam yang dijalankan pada hari ini bukanlah ekonomi Islam tetapi ia adalah muamalat Islam yang hanya sebahagian sahaja daripada ekonomi Islam dan sistemnya.

Justeru ekonomi Islam termasuk dasar dan sistem berkait pengswastaan, percukaian, zakat, pemilikan tanah dan lain-lain. Kesemua aspek sistem ekonomi Islam adalah perlu kerana ia menjadi pelengkap kepada aspek lain.

Tuntasnya kenaikan gaji kakitangan awam adalah sesuatu yang baik dan positif dan kesan negatifnya perlu diatasi melalui sistem ekomi Islam yang menyeluruh sebagaimana yang dinyatakan.
Petikan : Zaharuddin Muhammad
(Penulis adalah Pegawai Penyelidik Syariah, Majlis Syura Ulama PAS Pusat)

Rahsia Membina Rumahtangga Muslim Yang Bahagia

Oleh : Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Pegawai Penasihat Agama UiTM Sarawak

عَن اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: تَنْكِحُ المرَأَةَ لِاَرْبَعٍ , لمِاَلهِاَ وَلحِِسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا فاَطْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنَ تَرَبَتْ يَدَاكَ(رواه الشيخان)- متفق عليه

Maksud :“ Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri-ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya, kerana pegangan agamanya. Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung).
( Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu fitrah semulajadi dalam kehidupan manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan hidup bersama untuk memperolehi kasih sayang, ingin menjalinkan cinta yang berterusan dan ketenangan dalam hati. Namun bagi sesebuah rumahtangga muslim yang bahagia itu ianya bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadith di atas.
Bagi mereka yang merancang ingin mendirikan rumahtangga muslim yang bahagia, aspek pemilihan jodoh yang tepat adalah sangat penting. Ini kerana, perkongsian hidup yang lahir nanti akan menentukan nasib sesudah berumahtangga dan menentukan corak hidup dalam masyarakat sama ada mendapat keredhaan Allah SWT atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah SWT. Apa gunanya hidup kita, sekiranya kehidupan selepas berumahtangga menjadikan diri kita lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah atau suami yang soleh itu? Hikmahnya ialah dengan mempunyai nilai keagamaan itulah seseorang itu dapat memiliki akhlak yang baik, menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dan saling bantu membantu dalam rangka untuk membina rumahtangga yang diredhai Allah SWT.. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumahtangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Semua pasangan suami isteri mengidamkan kehidupan rumahtangga yang bahagia, tetapi persoalannya di manakah letaknya kebahagiaan rumahtangga tersebut?Adakah dengan mempunyai kekayaan dan memiliki segala-galanya, kehidupan seseorang itu sudah dianggap bahagia? Berapa banyak sebenarnya kes penceraian yang berlaku setiap tahun di kalangan mereka yang kononnya mempunyai kemewahan hidup semakin ketara? Jadi di manakah kebahagiaan itu sebenarnya ?
Sebenarnya kebahagiaan rumahtangga yang bahagia itu telah jelas ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam sendiri. Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumahtangga iaitu membina rumahtangga itu adalah semata-mata ingin mencari keredhaan Allah SWT, bukan disebabkan faktor atau dorongan yang lain. Tetapi berapa ramai yang menjadikan matlamat hidup ini untuk mencari keredhaan Allah SWT? Di mana letaknya keberkatan dalam berumahtangga? Apakah pasangan itu sekufu dan apakah neraca yang digunapakai dalam penentuan sekufu atau tidak?
Sekufu di sisi Islam adalah sekiranya pasangan suami isteri mempunyai kefahaman Islam dan matlamat hidup yang jelas, tahu akan tanggangujawab masing-masing bahawa membina rumahtangga muslim itu adalah suatu ibadah, saling merindui rumahtangga yang dirahmati dan diberkati Allah SWT, suami isteri yang saling nasihat menasihati antara satu sama lain dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT, cuba mewujudkan suasana rumahtangga yang harmoni, suami yang memberikan didikan agama kepada isteri dan ingatlah isteri yang solehah boleh membawa suami ke syurga.
Apakah rahsia membentuk rumahtangga muslim yang bahagia? Ingatlah para isteri yang dikasihi Allah SWT, antara ciri-ciri sifat isteri yang solehah itu apabila dia taat kepada Allah SWT, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dan suaminya. Selain itu, menjaga sembahyang lima waktu, berpuasa dan menjaga maruahnya. Maka masuklah dia ke dalam syurga mengikut mana-mana pintu yang disukainya. Berazamlah untuk menjadi isteri yang solehah. Sebaik-baik pemberian ke atas sesebuah rumahtangga itu ialah isteri yang solehah agar dapat membina keluarga sakinah.
Begitu juga, para suami yang soleh, mereka adalah ketua dan pemimpin keluarga, mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah agar tidak membiarkan isteri mereka berada dalam kejahilan. Suami yang soleh juga akan memberikan makan, minum, pakaian, kemudahan tempat tinggal, memberikan perlindungan dan melayani isteri dengan baik. Suami juga perlu banyak bersabar, menunjukkan contoh yang baik, memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.
Namun, apa yang dibimbangi ialah janganlah disebabkan apabila seseorang selepas alam berumahtangga membuatkan dirinya semakin jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Semasa bujangnya beliau terkenal dengan kuat sembahyang sunat, puasa sunat, berzikir dan bersedekah telah berubah. Kehidupannya berubah menjadi seorang leka dan selalu menyibukkan diri dengan anak isteri, bekerja keras untuk mengumpul harta dan mengejar kemewahan semata-mata untuk keluarga. Alangkah ruginya hidup yang fana ini sekiranya apabila memasuki gerbang rumahtangga itu menjadikan dirinya semakin jauh dari Allah SWT. Titik tolak kebahagiaan rumahtangga adalah bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.

Muhasabah Bersama Keluarga Kita

Bagaimana agar perkahwinan kita mendatangkan redha Allah? Semakin lama usia pernikahan akan semakin terasa sakinah mawaddah wa rahmah? Ada tiga rumus dalam Quran Surah Al-Ashr. Setiap bertambah hari, bertambah umur, kita itu merugi kecuali tiga golongan kelompok yang beruntung. Nah buat sahabat-sahabat yang merencanakan untuk berumahtangga silakan semak panduan berikut:

Pertama adalah rumahtangga yang selalu berfikir keras bagaimana keyakinan kepada Allah terus meningkat. Tidak ada orang ikhlas kecuali yakin kepada Allah. Tidak ada sabar kecuali kenal kepada Allah.. Tidak ada orang zuhud kecuali orang yang tahu kekayaan Allah. Tidak ada orang tawadhu' kecuali orang yang tahu kehebatan Allah. Makin akrab dan kenal dengan Allah pasti akan memberi kesan positif dalam diri kita. Setiap hari dalam hidup kita seharusnya difikirkan bagaimana kita dekat dengan Allah. Kalau Allah sudah mencintai mahluk segala urusan akan beres.

Oleh itu, apa pun yang ada dirumah harus menjadi asbab kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Beli barang apa pun harus yang disukai Allah. Supaya rumah kita menjadi rumah yang disukai Allah. Boleh memiliki barang yang bagus tanpa diwarnai dengan takabur. Bukan perkara mahal atau murah, bagus atau tidak tetapi apakah nanti mampu dipertanggungjawabk an disisi Allah atau tidak. Bahkan dalam mendengar lagu yang disukai Allah siapa tahu kita dipanggil Allah ketika mendengar lagu. Rumah kita harus Allah oriented. Kaligrafi dengan tulisan Allah. Kita senang melihat rumah mewah dan islami. Jadikan semua harta jadi dakwah mulai kenderaan sampai rumah.

Apa yang kita fikirkan, Allah sudah mengetahui apa yang kita fikirkan. Yang harus kita fikirkan adalah bagaimana dekat dengan Allah, selanjutnya Allah yang akan mengurus. Kalau hubungan kita dengan Allah bagus semua akan beres. Barangsiapa yang dekat dengan Allah, akan diberi jalan keluar setiap urusannya. Dan dijamin dengan rezeki dari tempat yang tidak diduga-duga. Dan barang siapa hatinya yakin Allah yang punya segalanya, akan dicukupkan segala keperluannya. Jadi bukan dunia ini yang menjadi masalah tetapi hubungan kita dengan Allah-lah masalahnya.

Kedua adalah rumahtangga yang paling produktif dalam kebaikan. Wang paling berkah adalah wang yang paling tinggi produktivitinya. Kaya boleh asal produktif. Boleh mempunyai rumah banyak asal diniatkan agar berkah demi Allah itu akan beruntung. Kerana itu, teruslah mencari wang. Bukan untuk memperkaya diri semata-mata tetapi bersedia pula untuk mengagihkannya untuk ummah yang memerlukan. Sedekah itu tidak akan mengurangi harta kita kecuali bertambah. Jadi fikiran kita bukan akan apa kita dapat? Tapi apa yang boleh kita perbuat? Orang beruntung setiap waktu fikirannya produktif mengenai kebaikan. Selagi hidup, lakukan yang terbaik, sesudah mati kita tidak aad upaya lagi. Kalau sudah melaksanakannya, nanti Allah yang akan memberi, itulah namanya rezeki. Orang yang beruntung adalah orang yang paling produktif kebaikannya.

Ketiga adalah rumahtangga yang dihiasi saling nasihat menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. Kata-kata terbaik yang kita katakan adalah meminta pandangan dan nasihat. Ayah meminta nasihat anak atau isteri, niscaya tidak akan kehilangan wibawa.. Dan kita tidak mampu menjadi penasihat yang baik sebelum ia menjadi orang yang boleh dinasihati. Tidak akan mampu kita memberi nasihat jika kita tidak boleh menerima nasihat. Nikmatilah nasihat sebagai rezeki dan bukti kesuksesan hidup. Sayang, hidup hanya sekali dan sebentar, namun malang kita tertipu dengan diri sendiri kerana melayan nafsu dan dunia. Fikirkan sekarang, jangan bertangguh dalam merubah diri dan keluarga untuk hampir kepada Allah.

Masuk ke dalam Islam keseluruhannya

Firman Allah SWT dalam ayat 208 surah al-Baqarah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengarahkan umat Islam agar masuk yang bererti menerima Islam secara keseluruhannya tanpa berbelah bagi, ia juga adalah jelmaan daripada doa iftitah yang dibaca dalam setiap solat, 'sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekelian alam ini'.

Begitulah juga dengan doa yang dibaca melalui surah al-Fatihah, 17 kali sehari semalam, iaitu tunjuklah kami jalan yang lurus.

Masuk atau menerima Islam secara keseluruhannya seperti dalam ayat di atas, boleh disimpulkan seperti di bawah ini :

1- Menerima Islam sebagai cara hidup.

2- Menerima Islam sebagai penyelesai kepada semua masalah.

3- Menyedari bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah.

4- Menyedari bahawa apabila tidak beramal dengan Islam secara serius, akan ditimpakan musibah oleh Allah SWT.

5- Memahami dengan sebaik-baiknya, bahawa apabila tidak beramal dengan Islam, bererti tidak percaya kepada kemuliaan Allah selaku Pencipta, apabila tidak percaya kepada Allah, bermakna menempah tempat dalam neraka.

6- Bersedia untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dari sudut pakaian, cara berfikir, pergaulan, usaha harian, kerjaya dengan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai Muslim/Muslimah sejati di sisi Allah.

7- Memperuntukkan masa untuk belajar Islam serta berkorban segala keringat, masa, tenaga, pemikiran dan kesanggupan.

8- Berjanji kepada Allah untuk memelihara agama-Nya.

9- Berjanji untuk memelihara jiwa daripada sebarang naluri dan kecenderungan yang menyalahi syariat.

10- Berjanji untuk memelihara harta daripada terjebak menyokong musuh-musuh Allah yang akhirnya membunuh saudara-saudara seagama seperti membeli rokok keluaran syarikat orang-orang Yahudi.

11- Berjanji memelihara keturunan serta kehormatan sebagai orang Islam dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej serta peribadi sebagai seorang Muslim yang sungguh-sungguh untuk mendaulatkan Islam.

12- Berjanji untuk memelihara memelihara akal daripada berfikir yang boleh merosakkan kesucian agama Islam dan berfikir cara bagaimana boleh memajukannya.

13- Menterjemahkan lima slogan yang pernah difahami oleh generasi ulama awalan sebagai cara hidup sempurna, iaitu Allah matlamat kita, Rasul itu pemimpin dan contoh teladan kita, al-Quran itu perlembagaan kita, jihad itu adalah cara hidup kita dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita kita yang tinggi lagi murni di sisi Allah.

PETIKAN : Ustaz Zainudin Hashim

Temuduga Sebagai : Calon Jenazah



SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN

KEKOSONGAN JAWATAN :

A. Ahli Syurga Dari Awal
B. Ahli Neraka Dari Awal
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A) :

1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA :

Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA :

Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN :

Anda tidak perlu bawa siji-sijil, termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat, Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA :

Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR :

1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON :

Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.

Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI :

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini :

Sabda Rasulullah S.A.W : 'Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.'

Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk.

Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk. Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya'.

Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat.

Wallahu-a'lam.

Semoga berjaya dalam temuduga ini.