Jumat, 08 Agustus 2008

GEJALA MENGUMPAT

Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasullah S. A. W. menjelaskan mengenai mengumpat separti sabda nya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"
(Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, is disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.

Sabda Rasulullah S. A. W. bermaksud: Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat"
(Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah S. A. W.
"wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri"
(Hadis riwayat Abu Daud)
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah S. A. W. bermaksud :Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, diakhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti. Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu perbanyakkan lah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Sedar-sedarlah yer hidup kita dah tak lama ..

MELANCONG MEMBERI HIDAYAH

Sesungguhnya melancong boleh dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi pelancongan.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada."
(Surah al-Hajj, ayat 46)

Jelas sekali tujuan melancong yang dianjurkan Islam ialah digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda pengembara hendaklah dibuka dan berdoa supaya Allah memberi hidayah serta kebaikan daripada aktiviti melancong itu.

Walaupun melancong lebih bersifat santai, tetapi tidaklah hingga kita lupa untuk berfikir kerana ketika merehatkan diri, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika melancong. Sesiapa tidak dapat merasai sebarang minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya sudah mati dan minda menjadi tertutup. Melancong bukan sekadar ingin berhibur. Sesiapa melancong hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan mendapat manfaat di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti melancong sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.

Ketika melancong hendaklah menjaga nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti pelancongan yang membabitkan perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang ingkar perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia." (Surah Ali Imran, ayat 112)

Ketika melancong, sudah tentu apa yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa menjadikan seluruh dunia itu tidak sama daripada segi bentuk muka bumi, iklim, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan masyarakatnya. Allah menyuruh supaya kita melihat setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat daripada sudut keimanan. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.
Firman Allah yang bermaksud: "Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?" (Surah al-Mulk, ayat 3)

Pelancong seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan supaya dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan umatnya menimba sebanyak pengalaman untuk dimanfaatkan ke arah memperbaiki diri serta kehidupan. Falsafah ini dapat difahami daripada maksud hadis Rasulullah SAW yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan. Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabat mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ. Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan.

Nabi Muhammad SAW pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat. Apa dilakukan Rasulullah SAW membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan pasaran ke seluruh dunia. Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab dalam perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh nusantara dan benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan. Melancong juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat di tempat masih mundur. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri dan masalah jenayah berleluasa. Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan berasa bersyukur dapat hidup di negara aman damai ini. Perkara ini dijelaskan Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah."
(Surah al-Anam, ayat 11)

Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa."
(Surah an-Naml, ayat 69)

Kita perlu insaf mempelajari perkara baru sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan mengenai setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama. Dengan kata lain, melancong adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil melancong. Ia membuktikan tujuan mencari ilmu lebih diutamakan dalam pakej pelancongan.

6 perkara yang wanita perlu ketahui


1. Jaga solat pada awal waktu. Kalau datang haid sekalipun jika tidak dapat solat, kena duduk atas tikar sembahyang supaya anak tidak lihat kita meninggal solat.
2. Hidupkan Bacaan Hadis Nabi saw di rumah dengan keluarga. Dianjur baca Hadis Fadhilat Amal. Ini amalan sahabiah zaman Nabi saw sehingga dari rumah kita keluar anak-anak yg soleh yg mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa dunia/akhirat.
3. Baca Al Quran setiap hari walaupun hanya 8 ayat. Kalau tak mampu nak baca kerana terlalu sibuk, cukup dengan mencium Al Quran dan muhasabah 'Ya Allah, apa dosa saya hingga saya tak dapat nak baca kitab Mu pada hari ini."
4. Mendidik anak secara Islam. Mengajar anak-anak dari kecil bermula dengan doa-doa masnun.Iaitu doa seharian Nabi saw seperti doa tidur, bangun tidur, makan dan sebagainya.
5. Hidup sederhana dengan tidak membebankan suami. Setiap hari malaikat akan menghantar 500 jambangan bunga dari syurga untuk wanita yg hidup sederhana. Setiap titisan air masakan dan basuhan mereka akan menjadi zikir mohon keampunan kepada Allah swt atas wanita tersebut. Ini tak...tak cukup sket je nak merungut...
6. Galak suami untuk bermujahadah atas Agama Allah. Seorang isteri yg menggalakkan suaminya untuk solat berjemaah di Masjid/Surau akan dapat pahala berjemaah suaminya termasuk solat dia sendiri. Kalau nampak suami tak sembahyang, ingatkan....bukan ikut sama tak sembahyang...terpulang samaada dia nak ikut ke tidak...itu urusan dia dengan Allah...Mudahan-mudahan ulasan ringkas ini bermanfaat. Muzakarahlah bersama teman supaya hakikat amalan ini masuk dalam hati kita dan mudah nak amalkan.

Cara Yang Lebih Selamat Mengelak Kekecewaan dan Memastikan Kejayaan

Ada beberapa cara untuk mengelakkan kekecewaan ini.

Pertama sekali, kenal pasti ciri-ciri yang anda mahu sebelum mula berkenalan dengan seseorang. Untuk mengenal pasti ciri-ciri yang anda ingin, anda perlu kenal diri sendiri terlebih dahulu. Jika orang yang anda kenal itu tidak menepati “ciri-ciri asas” seperti umur, status perkahwinan, tinggi, berat, tempat tinggal, asal, kufu dan lain yang anda kehendaki (maklumat-maklumat ini anda boleh dapati dengan bertanya melalui sebarang kaedah di internet), tidak perlu lanjutkan hubungan, tidak perlu buang masa, tidak perlu menanam sebarang harapan dan janji, tak payah tengok muka pun tak mengapa. Goodbye, sayonara!

Jika si dia menepati ciri-ciri yang dikehendaki, ajaklah berjumpa “ramai-ramai” dan bukan berdua-duaan. Pertemuan beramai-ramai di tempat awam yang terbuka akan menghilangkan suasana romantik, suasana berahi dan sebarang ketakutan. Anda boleh bertanya tentang pekerjaan, pelajaran, pengetahuan agama dan kekeluargaan. Semua jawapan akan membongkar latar belakang, pemikiran dan identiti sebenar seseorang. Dari saat ini, anda telah meneliti kesesuaian dan telah “melihat” serta “mendengar” orang yang anda ingin jadikan calon pasangan hidup. Kemudian fikir, fikir dan fikir. Jangan terburu-buru menolak dan jangan terburu-buru menerima. Minta pendapat rakan-rakan yang ikut serta di dalam pertemuan. Kemudian beristikharahlah. Jika petunjuk yang datang adalah positif maka eloklah disudahi dengan ikatan perkahwinan. Ajak sahaja si dia berkahwin. Ia akan berlaku dengan pantas dan mudah, InsyaAllah. (Ingat, anda melakukan setelah mendapat petunjuk daripada tuhan.) Perbincangan pra dan pasca perkahwinan biasanya akan berlaku di sini. Sebagai contoh, siapa akan bertukar tempat kerja, hantaran, mas kahwin, pertunangan, tarikh bertemu kaum keluarga … dan sebagainya.

Jika sebaliknya, kedua-duanya akan menjadi “hanya kawan” dan tidak ada lebih daripada itu. Berterus-teranglah dengan si dia. Jangan terus menyepi, kerana ini akan menimbulkan isyarat yang sebaliknya! Dia akan menyangka anda suka, tetapi malu nak menghubunginya.

Sebagai tambahan, kadang-kala akan wujud keinginan di dalam hati salah seorang untuk “terus memilih” walaupun telah bertemu yang sesuai. Ini adalah sikap negatif untuk sesuatu perhubungan dan adalah elok sekiranya anda membatalkan perhubungan sekiranya anda mengetahui si dia “masih lagi dalam proses memilih.” Jangan lupa, hadiah saguhati anda jika tidak dapat ke final adalah kekecewaan. Jadi, jangan cari penyakit walaupun si dia nampak menarik.

Jika seseorang mengikut empat langkah di atas, sekurang-kurang ada orang yang berpontensi untuk dijadikan “pasangan hidup atau kawan”.

Ikut langkah-langkah di atas dan InsyaAllah anda tidak akan kecewa dan marah ! Semoga bertemu pasangan hidup anda.

Wallahu’alam.

Kenapa Suami Curang ?


Biasanya apabila orang ada anak, mereka hendakkan anak mereka membesar menjadi orang baik-baik. Jika anak mereka berjaya di dunia dan akhirat, mereka akan bergembira. Jika anak mereka tiba-tiba masuk pusat serenti, terlibat dengan maksiat dan sebagainya, sudah tentu mereka akan kecewa dengan anak dan sedih dgn diri sendiri.

Begitu juga mereka yang telah berumahtangga. Sebelum berkahwin, mereka hanya mengharapkan kebaikkan. Selepas berkahwin, ada yang menemui kebaikkan, ada yang sebaliknya. Kasihan mereka yang sebaliknya.

Berbeza dengan soal zuriat. Baik atau buruk, tetap zuriat. Sedangkan pasangan hidup boleh bercerai atau berganti. Nabi berkata, “Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian yang paling bengkok ialah yang sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah. Tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik”[1]

Sekiranya seorang suami berkeras dalam membentuk si tulang rusuk untuk lurus mengikut kehendaknya, ia akan patah. Di dalam keadaan lain, sekiranya si tulang rusuk berkeras tidak mahu lurus, walaupun dibentuk dengan lembut, ia juga akan patah.

Patah bererti penceraian atau mencari yang lain. Jadi, ini faktor kedua-dua pihak. Apabila suami mencari kasih lain, isteri ada salahnya.

Hanyasanya para isteri kurang merenung. Hanyasanya terdapat segelintir para isteri sebenarnya tidak tahu menjadi isteri, kebanyakkannya hanya menjadi isteri ikut-ikutan. Ikut cara wanita lain menjadi isteri. Ikut cara wanita lain menjaga suami. Bukan mengikut kehendak suami sendiri.

Padahal wanita yang diikut itu melayan suami berdasarkan kehendak suaminya. Secara tak langsung, si isteri telah mengikut kaedah lelaki lain. Apabila kita mengikut cara ketua lain, sudah tentu ketua yang sedia ada akan mencari pengikut baru.

Rasulullah mencintai Siti Khadtijah. Lelaki mana tak sayang isteri jika isteri mereka seperti Siti Khadtijah. Jika kita study sirah Nabawi, kita akan nampak bagaimana Khadtijah begitu taat dan sokong nabi. Sanggup buat apa sahaja. Bergolok bergadai mempertahankan nabi. Sampai diri sendiri jadi “zero”. Bayangkanlah perasaan seorang wanita yang pernah dua kali kematian suami, jika bersuami, sudah tentu mereka akan hargai. Berbeza dengan para isteri first time kahwin, belum lagi merasa kesusahan hidup bersendirian.

Nasihat saya, jika anda ingin suami anda menyayangi anda seperti mana nabi menyayangi Khadtijah. Contohilah kaedah bagaimana Khadtijah menjadi isteri.

Jangan lupa, nabi berpesan, “Sekiranya aku menyuruh manusia sujud kepada manusia lain, tentu aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya.” [2] Berapa ramai wanita yang sanggup menyembah suami mereka? Berapa ramai wanita yang ingin suami menyembah mereka?

Wallahu’alam.

Tentang Qada’ & Qadar


SOALAN: Dr Danial, apakah maksud qada dan qadar, mubram dan muallaq. Dan apakah kaitannya dengan usaha serta ikhtiar yg kita lakukan?

JAWAPAN: Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila. Allah menetapkan kaum wanita dan bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat. Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.

Isu yang hangat diperkatakan tentang qada dan qadar ialah, adakah tindak tanduk manusia juga telah ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi? Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Omar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.

Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada Omar ra: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Omar ra menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.” (Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Takdir mempunyai beberapa bahagian, pertama ialah takdir di dalam ilmu Allah yang azali. Ia bermaksud Allah telah mengetahui segala-galanya sebelum ia benar-benar berlaku. Takdir di dalam bentuk ini tidak boleh dan tidak mungkin berubah secara mutlak. Jika ia berubah ia mencacat kesempurnaan Allah dan hal ini adalah mustahil di sisi Allah. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimihamba-hambaKu.” (Surah Qaaf ayat 29)

Takdir ini dikenali sebagai qada mubram atau ‘takdir yang pasti’ dan mengingkarinya akan menyebabkan seseorang menjadi kafir mengikut ijmak ulama.

Takdir yang kedua ialah takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz dan ia dikenali juga sebagai takdir mu’allaq. Mengikut K.H. Sirajuddin Abbas di dalam buku 40 Masalah Agama, takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.” (Surah Ar-Ra’d ayat 39)

Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata: “Lauh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan.”

Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Lauh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.” (Tirmizi)

Justeru, Omar Al-Khattab ra pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku.

Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Dalam bab mencari jodoh, nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yg betul, kita mempunyai pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah utk mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah tentangnya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

Masih Mencari Cinta ?

Ramai yang ingin bercinta sebelum berkahwin. Bagi mereka, apabila bertemu seseorang yang dapat menyentuh hati dan perasaan seperti di dalam filem-filem telenovela Korea, atau filem-filem Hindi barulah mereka akan bersedia mendirikan rumahtangga.

Selagi belum ada yang boleh mengusik hati dan perasaan, mereka akan menganggap semua itu bukanlah satu “cinta sejati”. Lalu mereka akan menjalani hidup mereka dengan berkhayal untuk menjumpai “Mr Right” atau “Ms Right” mereka.

Mereka akan berasa gembira dan ingin mendirikan rumahtangga apabila individu-individu ini tiba-tiba muncul dalam hidup. Itupun setelah mereka “betul-betul mengenali” individu ini, berselisih faham, bertekak dan berbaik semula, BARULAH mereka mendakwa diri mereka sedang dilamun cinta.

Apabila mendirikan rumahtangga, perasaan cinta itu dibawa bersama dengan harapan ia akan terus kekal begitu. Ramai yang terlupa atau tidak sedar bahawa tanggungjawab suami atau isteri adalah berbeza sekali dengan tanggungjawab sepasang kekasih, ia tidak terhad kepada menghantar dan menjemput dari tempat kerja sahaja. Ia lebih daripada itu.

Ada pula yang terlampau “bahagia” sehingga melupakan kedua orang tua. Ada juga yang berasa tertekan dengan kehadiran anak-anak yang dikurniakan oleh Allah.

Akhirnya alam perkhawinan mereka tidak menjadi seperti yang diinginkan, tidak seindah filem-filem telenovela Korea atau filem-filem cinta Hindi kerana ia akan diselubungi dengan pelbagai masalah.

ALAM PERCINTAAN SEBELUM BERKAHWIN

Bercinta sebelum berkahwin adalah sebahagian daripada budaya Hedonisme yang mengajar manusia fahaman “kebahagiaan hanya dicapai apabila ada keseronokkan di hati”. Akibatnya kebahagian itu hanya seketika kerana keseronokkan yang dilakukan kadang-kala mendatang masalah sosial dan masalah peribadi yang lain. Sedangkan Islam mengajar sesuatu yang lebih baik.

Budaya ini telah lama menyerap ke dalam masyarakat Melayu semenjak Hikayat 1001 malam dibukukan. Seseorang yang sedang khayal dan seronok bercinta dengan pasangannya akan menganggap diri mereka sedang menikmati kebahagiaan. Lalu kerana rasa bahagia inilah mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

Persoalannya adalah mudah, mampukah kebahagian tersebut kekal 10 atau 20 tahun akan datang? Boleh atau tidak mereka berasa bahagia apabila hadir di antara mereka anak-anak dengan pelbagai kerenah.

WANITA MENGADU TENTANG CINTA KEPADA UMAR

Pada zaman Umar Al-Khattab r.a. sebagai khalifah, ada seorang wanita yang datang mengadu dan mengaku kepada beliau r.a. bahawa dirinya tidak lagi mencintai suaminya. Dia lalu meminta nasihat daripada Umar r.a. apakah cara terbaik dalam mengatasi masalah ini. Katanya hidup yang tidak dihiasi dengan cinta amat membosankan.

Lalu Umar berkata “Jika ada di antara kamu, wahai perempuan, yang tidak cinta kepada seorang di antara kami para lelaki, tidak usahlah hal itu dikhabarkan kepadanya (suami itu). Kerana hanya sedikit rumahtangga yang dibina berdasarkan cinta. Kebanggaan hanyalah (rumahtangga) yang didirikan atas dasar hasab.”

Hasab di sini bermaksud kemulian budi, sifat dermawan, sopan santun, akhlak yang baik dan sebagainya yang menyebabkan seseorang itu disegani. Dalam erti kata moden, imej yang baik.

Kata-kata ini membawa maksud bahawa, amat jarang sekali sesuatu perkahwinan yang membanggakan dibina berdasarkan cinta. Perkahwinan yang menjadi kebanggaan biasanya dibina atas dasar hasab yang baik.

Ini adalah satu kata-kata emas yang jika direnung, ia membawa maksud yang amat mendalam. Sebenarnya terdapat pelbagai elemen lain yang dapat mempengaruhi kebahagiaan dan kebanggaan sesuatu rumahtangga selain cinta dan seks.

DISEBALIK PERKAHWINAN

Sepasang manusia yang diijab-kabulkan akan melalui pelbagai ujian daripada Allah swt. Masing-masing akan melihat kelemahan dan kelebihan diri yang lain. Justeru akan muncul pula perasaan benci, marah dan sebagainya. Tambahan pula, sebagai manusia kita tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Keadaan akan menjadi buruk apabila kesilapan-kesilapan yang dilakukan menghakis sedikit demi sedikit perasaan cinta yang menjadi asas perkahwinan tersebut.

Dititik inilah biasanya muncul masalah “suami curang” atau “isteri curang”. Masing-masing cuba mencari cinta baru dari luar rumah. Perilaku-perilaku ini seterusnya akan mewujudkan situasi yang amat buruk apabila perasaan cinta itu didorongi pula oleh nafsu seks.

Apabila cinta itu terhakis, apa lagi yang tinggal dalam perkahwinan? Adakah ia mampu bertahan sehingga ke akhir hayat atau sebaliknya. Kita melihat banyak kes-kes penceraian di dada akhbar setiap hari. Kebanyakkannya berkahwin kerana “cinta semasa mereka” dan bukannya kerana menganggap bahawa perkahwinan adalah suruhan agama.

APABILA CINTA TIDAK MENJADI ASAS

Berbeza keadaan dengan rumahtangga yang tidak dibina atas asas cinta. Percintaan hanya wujud selepas perkahwinan. Banyak rumahtangga yang berjaya dibina berpuluh-puluh tahun lamanya dan dapat bertahan sehingga dipisahkan oleh liang lahat. Semakin hari semakin mesra, semakin sayang, semakin bahagia.

Setiap hari kedua-dua pasangan sama-sama belajar mengenali satu sama lain. Berbeza dengan mereka yang mendirikan rumahtangga yang berasaskan cinta dan seks, mereka yang mendirikan rumahtangga atas sebab hasab akan menjumpai lebih banyak nikmat lain, mereka akan menjumpai kebahagian di dunia.

Atas dasar itulah kita sering lihat masalah penceraian adalah perkara biasa pada zaman sekarang. Padahal ia adalah sesuatu yang jarang didengari dalam masyarakat Melayu lama. Masyarakat Melayu lama berkahwin bukan kerana soal seks atau cinta, tetapi pernikahan mereka adalah berdasarkan hasab.

Siti Khadijah r.a. tidak pernah bercinta dengan Rasulullah s.a.w. . Beliau terpikat dengan Rasulullah s.a.w. disebabkan budi pekerti dan akhlak Rasulullah s.a.w. yang mulia. Perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w. kekal sehingga akhir hayat beliau. Faktor usia, harta dan keturunan bangsawan Rasulullah s.a.w. bukanlah faktor utama.

Terdapat beberapa riwayat hadith yang menceritakan bagaimana sayangnya Rasulullah s.a.w kepada Khatijah r.a. melebihi isteri-isterinya yang lain. Di antaranya :

Aisyah r.a. berkata, Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun dari isteri Nabi s.a.w seperti cemburuku kepada Khadijah karena Rasulullah banyak menyebutnya dan menyanjungnya dan setiap kali menyembelih kurban Nabi s.a.w. akan menyisihkannya sebahagian untuk dikirimkan kepada perempuan-perempuan sahabat Khadtijah. Kadang-kala aku berkata, “Seperti bumi ini tidak ada perempuan lain selain Khadtijah” Nabi s.a.w bersabda, “Demikian banyak kelebihan Khadtijah, dan darinya aku memperoleh anak. {
Riwayat Bukhari}

Sejarah tidak melakarkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah melalui zaman percintaan bersama dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berumahtanggga. Malah Muhammad Hussein Haekal menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bimbang akan kedudukkan kewangannya apabila dicadangkan oleh Nurfaisah untuk berkahwin dengan Khadtijah r.a. {Sejarah Hidup Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera AntarNusa, Mac 2006, m/s 67}

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak ada apa-apa hubungan dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berkahwin. Perkahwinan beliau r.a. dengan Khadtijah r.a. merupakan satu perkahwinan yang terhormat dan berasaskan hasab.

Ini adalah selaras dengan wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita agar memilih calon-calon pasangan hidup yang beragama dan bukannya berasaskan percintaan. Hanya mereka yang menjiwai agama adalah mereka yang mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik.

Kesimpulan

Amat bijak sekali sekiranya kita mengambil keputusan untuk tidak menunggu lagi kemunculan “cinta sejati” Sebaliknya kita mula mencari mereka yang mempunyai agama yang baik, kahwinilah dan belajar mencintai mereka selepas berkahwin, kerana kebahagiannya telah pun dijamin oleh Rasulullah s.a.w., malah Allah telah menjanjikan rahmatNya.