Jumat, 08 Agustus 2008

Taktik Lazim Untuk Menipu Wanita

Secara fitrah, semua wanita di dunia mencari lelaki sebagai pelindung. Justeru, wanita amat tertarik kepada lelaki yang dapat menjamin keselamatan mereka di dunia dan di akhirat.

Wanita akan merasa selamat apabila bersama dengan lelaki yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan. Ada beberapa golongan lelaki yang selalu mempamerkan kekayaan untuk menonjolkan faktor ini bagi menarik perhatian golongan wanita. Itu adalah perkara normal. Yang tidak normalnya ialah apabila “terlalu” mempamerkan faktor ini.

Juga terdapat segolongan lelaki yang berbohong dengan kemampuannya. “I ada sebuah firma,” “I akan belikan U sebuah kereta,” “I dah ada rumah dua tingkat untuk U,” “I kenal datok ini dan datok itu” dan sebagainya. Padahal, perkara-perkara yang disebut tidak benar.

Untuk mengelakkan dari tertipu, seorang wanita perlukan mencari kesederhanaan di dalam perhubungan. Jangan jadikan kemampuan seorang lelaki sebagai agenda utama. Rezeki dan kekayaan dapat ditahan oleh tuhan pada bila-bila masa. Firman Allah di dalam surah Al-Mulk ayat 21, “Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya?”

Sebaliknya cari seorang pasangan yang sederhana dan rajin. Orang yang rajin biasanya dapat dikenali dengan kekemasan diri mereka. Kereta kemas, rumah kemas, meja kemas, pakaian kemas. Ini kerana mereka sentiasa menggunakan sepenuh masa mereka untuk melakukan sesuatu. Biasanya orang rajin akan mendapat ganjaran baik dari kerajinannya. Itu adalah memadai sebagai jaminan keselamatan kewangan.

Wanita juga akan rasa selamat apabila bersama lelaki yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang keagamaan. Di akhir zaman ini, ramai yang tidak tahu membaca Al-Quran, ramai yang tidak khatam fardhu ain, ramai yang tidak benar-benar menghayati Islam, pendek kata ramai yang dahagakan agama. Apabila berbicara bab nikah dan kahwin, semuanya akan memberi fokus kepada lelaki yang beragama.

Golongan-golongan lelaki yang mampu memberikan nasihat-nasihat baik, memberi bimbingan dan sebagainya akan menjadi perhatian ramai wanita. Bukan sahaja di alam maya, tetapi di mana-mana di bumi ini. Ini akhir zaman!

Masalah wujud apabila terdapat segolongan lelaki menggunakan pendekatan ini untuk melakukan maksiat. Pada peringkat permulaan semuanya berbentuk nasihat dan ucapan salam. Pada pertengahannya, semua berbau lucah. Pada penghujungnya, semua akan berakhir dengan perkara-perkara terlarang.

Untuk mengelakkan diri diperdaya oleh lelaki seperti ini, seorang wanita perlu mendalami ilmu agama. Anda mungkin berasa takjub apabila melihat orang lain menceritakan tetang sirah-sirah nabi atau hadith-hadith yang tidak pernah anda dengari. Tetapi anda tidak akan berasa takjub sekiranya anda telah lebih awal mengetahui semua itu.

Tidak susah. Hanya dengan mengkaji dua sumber asal Islam, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Terjemahan Al-Quran bernilai tidak lebih dari RM20 boleh di dapati dari mana-mana kedai buku agama atau pasar malam. Hadith-hadih mungkin terlalu banyak untuk dikaji, tetapi memadai dengan mendapatkan senaskah salinan Riyadhus Salihin karangan Imam Nawawi.

Dengan cara ini pengetahuan agama seseorang akan meningkat dalam masa terdekat. Bertanya dengan orang lebih pengetahuan adalah amat perlu. Perbanyakkan zikir agar tidak terlalai adalah suatu kemestian. Perbanyakkan solat-solat sunat untuk mencipta rekod diri. Lalu apabila muncul seorang lelaki yang menceritakan perihal agama, anda akan lebih bersedia dan tidak mudah terpedaya.

Wanita juga mudah tertarik dengan lelaki yang dapat memberi keselamatan dirinya. “Macho” dan “carring.” Ini adalah fitrah. Wanita akan berasa lebih selamat apabila lelaki sebegini berada di sisi mereka.

Bayangkan sebuah lorong yang telah diketahui ada seekor anjing garang. Anda ingin melaluinya tetapi anda takut. Tiba-tiba muncul seorang lelaki dan berkata, “tak per cik, jangan takut, kita jalan sama-sama.” Lalu anda berjalan dengan perasaan selamat. Anda mungkin jatuh hati dengannya. Ini adalah fitrah.

Bayangkan pula anda sedang berjalan di lorong lain. Tiba-tiba datang seorang lelaki berkata, “eh cik, kat sini ada anjing garang, dua hari lalu dia dah gigit orang. Entah-entah dia nanti gigit cik. Tapi kalau cik jalan dengan saya, cik akan selamat.” Ini adalah contoh penipuan. Lelaki tersebut tidak ikhlas melindungi anda.

Untuk mengelakkan perkara sebegini, seorang perlu belajar bergantung kepada tuhan setiap masa, lalu bertawakal. Bayangkan situasi di lorong tadi, apabila seorang lelaki muncul dan menceritakan tentang bahaya berjalan seorang diri. Sekiranya anda mempunyai keyakinan untuk bergantung kepada tuhan, anda boleh menjawab, “terima kasih encik, tapi ayah saya pesan, jika baca ayatul kursi, InsyaAllah akan dijauhi segala binatang buas.” Lalu anda akan lebih selamat. Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 51, “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

Wallahu’alam.

Tidak ada komentar: