Selain dari amalan ibadat wajib dan sunat yang diperbanyakkan di dalam bulan Ramadan, kita perlu menjauhi perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia.
Pertama, hendaklah mengelak pandangan ke tempat-tempat yang dilarang, setengahnya pergi lebih jauh iaitu melarang melihat walaupun isteri sendiri dengan pandangan bernafsu, apatah lagi wanita-wanita lain. Begitulah juga melihat perbuatan-perbuatan maksiat atau jika maksiat itu dilakukan, hendaklah dijauhi daripadanya.
Rasulullah (saw) bersabda: "Pandangan adalah seumpama anak panah daripada syaitan. Barangsiapa takut kepada Allah, jauhilah dirinya daripada melihat kepada maksiat. Maka Allah mengurnia-kannya dengan suatu (cahaya iman) yang kemanisan dan keghairahannya akan terasa di hati.”
Kedua, jagalah lidah daripada berdusta, perbualan yang sia-sia, mengumpat, hujjah-menghujjah, bersumpah-sumpah dan sebagainya. Pada zaman Rasulullah (saw), dua orang wanita sedang berpuasa dan tidak dapat menahan keperitan kelaparan, sehingga kedua-duanya hampir maut. Para sahabat membawa berita ini ke pengetahuan Nabi (saw), lantas baginda mengirimkan sebuah mangkuk dan menyuruh mereka muntah ke dalamnya. Apabila kedua-duanya memuntahkan isi perut mereka ke dalam mangkuk, maka keluarlah ketulan-ketulan daging mentah dan darah. Para sahabat terperanjat besar, lalu sabda Rasulullah (saw): "Mereka berpuasa dengan makanan yang halal tetapi mereka mengumpat semasa sedang berpuasa, maka keadaan puasa mereka menjadi semakin payah. " Oleh sebab itulah kedua-dua wanita itu hampir-hampir menemui maut.
Salah seorang sahabat Nabi (saw) bertanya: "Apakah itu mengumpat?" Rasulullah (saw) menjawab: "Menyebut sesuatu mengenai saudaramu di belakangnya yang dia tidak suka." Selanjutnya Sahabi itu bertanya: "Dan masihkah dikatakan mengumpat sekiranya apa yang disebutkan mengenainya itu benar terdapat padanya?" Rasulullah (saw) menjawab: "Dalam hal demikian (iaitu jika yang disebutkan itu memang benar) maka sebenarnya itulah mengumpat; tetapi jika apa yang disebutkan itu palsu, maka kamu telah memfitnahnya."
Ketiga, hendaklah kita berjaga-jaga daripada mendengar sesuatu yang makruh. Samalah juga haram mendengar kepada sesuatu yang tidak sepatutnya disebutkan. Rasulullah (saw) telah bersabda: "Mengenai mengumpat, kedua-dua pengumpat dan orang yang mendengar keadaannya adalah sama berkongsi dosa."
Keempat, lain-lain anggota jasad hendaklah dijauhi daripada dosa dan perkara-perkara yang haram. Tangan jangan menyentuhinya dan kaki janganlah berjalan ke arahnya. Mengenai perut, hendaklah berhati-hati agar ketika mengambil makanan, khasnya semasa berbuka (iftar), tidak ada yang memasukinya daripada sesuatu yang diragu-ragukan sama ada halal atau tidaknya. Seumpama orang yang berpuasa yang kemudian semasa berbuka, memakan benda yang haram adalah seperti orang yang sakit memakan ubat tetapi mencampurkannya juga dengan sedikit racun yang akan membinasakannya.
Kelima, tidaklah digalakkan memakan sekenyang-kenyangnya semasa iftar walaupun makanan itu halal kerana maksud daripada puasa kita tidak akan tercapai. Tujuan puasa adalah untuk mengekang nafsu syahwat kita dan meninggikan keyakinan serta memperkuatkan rohaniyah kita. Selama sebelas bulan kita makan dan minum dengan sebebas-bebasnya, maka pada bulan Ramadan, patutlah kita mencerut sedikit perut kita. Selalunya, kita menjadikan tabiat buruk dengan memenuhkan perut kita sepenuh-penuhnya semasa iftar dan sekali lagi menyumbatnya tatkala bersahur sebagai persiapan menghadapi siang harinya. Maka sebenarnya kita menambahkan purata makanan kita. Dalam Ramadan, jenis makanan yang kita makan, tidak pernah dimakan pada masa-masa lain. Pemakanan yang begitu sebenarnya bertentangan sama sekali dengan semangat Ramadhan dan berpuasa. "Syaitan mengalir ke dalam jasad kita seperti darah, maka tutuplah jalannya dengan berlapar."
Begitulah juga, perasaan akan dapat dipupuk terhadap si miskin dan orang yang lapar. Nabi saw kita sendiri bersabda: "Tidak ada yang lebih dibenci oleh Allah (swt) selain sesuatu yang diisi penuh iaitu daripada memenuhi perut dengan makanan." Pada ketika yang lain, Rasulullah saw bersabda: "Memadailah beberapa suap makanan yang dapat meluruskan belakang, satu pertiga dengan minuman, sedang satu pertiga lagi dibiarkan kosong."
Keenam ialah, selepas menjalani puasa, hendaklah selalu berasa bimbang sama ada puasanya diterima Allah ataupun tidak. Beginilah hendaknya dilakukan kepada semua bentuk ibadah. Seseorang itu mungkin tidak menyedari bahawa bahagian-bahagian yang penting tertinggal. Hendaklah berasa takut-takut mungkin amalan-amalan kita akan ditolak oleh Allah. Peristiwa-peristiwa begini banyak diriwayatkan dalam hadis. Maka seseorang yang berpuasa bukanlah setakat berpuasa dengan ikhlas tetapi hendaklah dengan pengharapan agar puasanya diterima oleh Allah (swt).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar