Kenaikan gaji menggembirakan kakitangan awam. Kita perlu melihat perkembangan ini melalui pelbagai hakikat dan sudut berbeza bagi menilai kesan dan masa depan masyarakat terutamanya golongan sederhana dan rendah.
Rakyat juga perlu menilai kesan dan masa depan golongan bawahan seperti petani, nelayan, buruh kampung kerana mereka adalah aset kepada kuasa beli negara yang tidak boleh dipandang ringan di samping modal insan yang perlu dibangunkan.
Oleh itu, kita cuba melihat kenaikan gaji kakitangan awam ini dari sudut positif dan negatif secara seimbang dan membuat imbangan antara kedua-duanya.
Kesan positif
Kesan positif dari sudut kenaikan ini amat jelas dengan kenaikan taraf sosio ekonomi sebahagian rakyat terutamanya golongan pertengahan. Kenaikan ini memberikan kelegaan kepada golongan yang berpendapatan sederhana seperti polis dan askar berpangkat rendah yang sememangnya perlu dinaikkan taraf sosio ekonomi mereka.
Dengan ini, ia memberikan peningkatan keupayaan beli bagi golongan yang terbabit dengan kenaikan gaji.
Kesan negatif
Apabila berlaku kenaikan gaji kakitangan awam, akan menyebabkan berlaku tuntutan kenaikan gaji pekerja swasta. Ia akan menyebabkan kenaikan harga barang dan menaikan kos hidup rakyat.
Ini berdasarkan amalan biasa mana-mana syarikat yang pasti mengekalkan margin keuntungan. Maka kos bagi kenaikan gaji pekerja akan dipindahkan kepada pembeli melalui kenaikan harga produk pengeluaran dan caj perkhidmatan.
Hakikatnya, sebelum gaji kakitangan awam dinaikkan, harga beberapa barangan sudah mula dinaikkan oleh peniaga-peniaga sebagaimana yang telah disiarkan akhbar.
Secara realiti, kerajaan tidak mampu menahan dan memaksa peniaga tidak menaikkan harga barangan mereka sebagaimana berlaku sebelum ini terutamanya ketika kenaikan harga minyak dan sebagainya kerana harga barangan ditentukan oleh permintaan pasaran, keperluan pengguna, kos dan keupayaan barangan itu sendiri.
Fenomena ini akan menyebabkan golongan yang tidak terlibat dengan kenaikan gaji terutamanya golongan yang hanya bersifat sebagai pengguna akan semakin turun taraf sosio ekonomi mereka untuk tempoh lima tahun akan datang, manakala sosio ekonomi kakitangan awam pula yang naik taraf pada hari ini akan turun semula selepas lima tahun akan datang.
Golongan pengguna yang terdiri daripada buruh kampung, petani sederhana dan miskin akan tertekan kerana margin simpanan mereka akan semakin berkurangan akibat kenaikan kos sedangkan pendapatan mereka adalah di tahap sama.
Pengekalan kuasa beli golongan kaya dan kelemahan kuasa beli golongan miskin menyebabkan syarikat pengeluaran terpaksa mengambil keuntungan dengan menaikkan harga jualan atau meningkatkan caj perkhidmatan.
Tetapi dalam sistem Islam, sekalipun syarikat tidak menaikkan harga barang, tetapi keuntungan mereka bertambah akibat pertambahan kuantiti pengeluaran kerana kuasa beli golongan kaya dan miskin sama-sama mengalami kenaikan melalui sistem agihan zakat dan seumpamanya.
Kenapa Islam mementingkan golongan miskin?
Dari sudut Islam, golongan miskin dan kaya adalah ketentuan daripada Allah SWT dan diuji dengan keadaan masing-masing. Banyak terdapat di dalam al-Quran dan hadis berkenaan dengan tanggungjawab, peranan dan kelebihan membantu orang susah dan miskin.
Dari sudut makro ekonomi pula, golongan miskin adalah aset penting yang perlu dibangunkan. Jika di dalam sesebuah negara yang penduduk majoritinya adalah miskin, maka kuasa beli adalah rendah dan lemah. Justeru, jualan barangan, edaran produk atau caj khidmat yang disediakan oleh golongan berpendapatan dan golongan kaya tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Menaikkan taraf orang-orang miskin sehingga mampu bersaing dan berjalan seiringan dengan orang lain merupakan ciri penting kepada pembangunan ekonomi dan melariskan produk yang dikeluarkan.
Golongan miskin terabai cukup banyak kedapatan di negara kita. Ulama Pelapis Selangor sendiri telah menemui dan membantu orang-orang miskin di Selangor yang dikategorikan cukup tegal. Golongan miskin tegal ini tidak ditemui di negeri-negeri yang dianggap miskin seperti Kelantan tetapi banyak kedapatan di negeri maju seperti Selangor dan Johor.
Apabila kenaikan gaji berlaku, bermakna taraf sosio ekonomi mereka naik dan meningkat. Dalam masa yang sama, jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh mereka juga meningkat, dan ini akan menyebabkan kemasukan kepada kerajaan juga bertambah. Hal ini sama dengan sistem zakat, apabila kenaikan gaji berlaku, bermakna kutipan zakat juga akan meningkat.
Tetapi perbezaannya adalah, jika kutipan cukai daripada kakitangan awam meningkat akibat kenaikan gaji, tetapi ia belum menjamin peningkatan taraf sosio ekonomi orang miskin dan golongan sederhana kerana kutipan itu belum tentu diagihkan kepada golongan miskin kecuali dalam bentuk ihsan.
Berbeza dengan sistem zakat di mana zakat (iaitu zakat mal mustafad atau harta perolehan) yang dikutip daripada kakitangan awam yang layak pasti akan diagihkan dua perlapannya kepada orang fakir dan miskin.
Ini berlaku melalui sistem zakat di mana agihan itu bukannya ihsan, bukan sagu hati kepada penerima, tetapi ia adalah hak si fakir dan miskin. Jika kerajaan Islam tidak memberikan zakat kepada si fakir dan si miskin maka ia adalah satu kesalahan. Kerana belanjawan kutipan zakat telah ditentukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
Berbeza dengan kerajaan sekarang, jika ia tidak memberikan satu sen pun kepada fakir dan miskin, maka ia bukannya kesalahan kerana belanjawan dan alirannya ditentukan oleh pemerintah, bukan sistem yang tetap sebagaimana zakat.
Perlu disedari bahawa, zakat adalah sistem di dalam negara Islam manakala cukai pula tidak boleh menjadi sumber tetap kepada negara Islam. Di dalam konteks negara kita pada hari ini, zakat bukanlah sebagai satu sistem negara kerana ia dijalankan tidak sampai satu pertiga daripada sistem sebenar zakat dan aspek-aspek penting zakat cukup-cukup diabaikan. Bahkan sistem yang menjadi sumber pendapatan negara kita ialah sistem percukaian Rom yang dihidupkan kembali oleh golongan Barat, seterusnya dipraktikkan di negara kita.
Antara tanda dan bukti yang jelas berkaitan dengan hakikat ini ialah, golongan yang tidak membayar cukai adalah kesalahan undang-undang di dalam negara kita dengan harta mereka disita dan sebagainya, manakala golongan yang tidak membayar zakat pula bukanlah satu kesalahan undang-undang.
Berbeza dengan sistem zakat Islam, di mana golongan yang tidak membayar zakat adalah kesalahan undang-undang negara Islam manakala sebahagian besar cukai dalam bentuk sekarang seperti cukai jualan dan seumpamanya adalah bercanggah dengan hukum Islam dan ia adalah haram.
Melalui sistem Islam ini, jika golongan kakitangan awam dinaikkan gaji, maka secara langsung dan pasti taraf sosio ekonomi golongan miskin juga akan naik kerana zakat yang terkutip secara pasti dan wajib akan mengalir kepada golongan miskin sebanyak dua perlapan.
Tetapi dengan sistem sekarang, apabila golongan kakitangan awam dinaikkan gaji, tetapi taraf sosio ekonomi golongan miskin belum tentu akan naik kerana sistem cukai sekarang tidak menetapkan secara wajib agihannya kepada orang miskin dan golongan yang memerlukan melainkan dalam bentuk ihsan yang sangat kecil berbanding kadar agihan zakat yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Melalui kenaikan gaji di dalam sistem ekonomi bukan Islam yang diamalkan sekarang akan menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin jauh. Dan hakikat inilah yang bercanggah dengan dasar Islam melalui penetapan hukum seperti zakat dan seumpamanya bagi menaikkan taraf golongan miskin dengan pertambahan kemasukan orang kaya seterusnya mendekatkan jurang antara dua golongan tersebut.
Di dalam sistem ekonomi negara menurut hukum dan prinsip Islam, duit dan kekayaan negara dicairkan oleh rakyat, manakala sistem ekonomi negara kita sekarang, duit dicairkan dan dikontrol oleh kerajaan.
Sebagai contoh, jika duit dan harta cair negara sebanyak RM100 trilion, maka jumlah tersebut dipegang dan dikontrol oleh kerajaan melalui sistem penswastaan, sistem percukaian dan sebagainya. Apabila kerajaan ingin menambah rizabnya, maka cukai akan dinaikkan (kadangkala tanpa disedari oleh rakyat).
Oleh itu, kadar cukai boleh naik dan boleh turun berpandukan kepada keperluan menurut kehendak mereka yang menerajui kerajaan itu sendiri.
Tetapi di dalam sistem Islam, jumlah tersebut dialirkan dan dicairkan oleh rakyat dan pencairannya dikontrol oleh sistem dan hukum Islam manakala kerajaan berfungsi sebagai pelaksana kepada hukum yang telah ditetapkan.
Oleh itu, kita dapati, kerajaan Islam dan ulama hebat macam mana sekalipun tidak boleh menaik dan menurunkan kadar kutipan zakat, usyur dan sebagainya sesuka hati.
Pencairan duit oleh rakyat ini dibuktikan secara praktikal, antara yang jelasnya ialah tindakan Sayidina Umar mengosongkan perbendaharaan Baitulmal sehari dalam setahun sehingga tidak tinggal satu dirham pun.
Segala harta perbendaharaan tersebut diagihkan kepada seluruh rakyat sebagai suntikan modal untuk dicairkan.. Sekalipun Baitulmal kosong sehari setahun, tidak lama selepas dikosongkan, tidak lama selepas itu ia akan kembali penuh akibat pertambahan kutipan zakat, usyur dan sebagainya kesan daripada pertambahan modal rakyat.
Penutup
Kenaikan gaji kakitangan awam adalah sesuatu yang baik. Ia dapat menaikkan taraf sosio ekonomi mereka yang berkhidmat membangunkan negara terutamanya polis dan askar yang sememangnya banyak berkorban untuk negara.
Tetapi pada masa yang sama, dasar dan sistem ekonomi sekarang memberikan kesan negatif akibat kenaikan gaji kakitangan awam terutamanya kepada golongan miskin dan fakir di kalangan bukan kakitangan awam.
Penyelesaian kepada kesan negatif ini hanya dapat diatasi melalui sistem ekonomi Islam yang menyeluruh. Perbankan Islam yang dijalankan pada hari ini bukanlah ekonomi Islam tetapi ia adalah muamalat Islam yang hanya sebahagian sahaja daripada ekonomi Islam dan sistemnya.
Justeru ekonomi Islam termasuk dasar dan sistem berkait pengswastaan, percukaian, zakat, pemilikan tanah dan lain-lain. Kesemua aspek sistem ekonomi Islam adalah perlu kerana ia menjadi pelengkap kepada aspek lain.
Tuntasnya kenaikan gaji kakitangan awam adalah sesuatu yang baik dan positif dan kesan negatifnya perlu diatasi melalui sistem ekomi Islam yang menyeluruh sebagaimana yang dinyatakan.
Petikan : Zaharuddin Muhammad
(Penulis adalah Pegawai Penyelidik Syariah, Majlis Syura Ulama PAS Pusat)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar