Rabu, 09 September 2009

Penyelewengan kalimah Allah

(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)? (al-Baqarah: 75)

Huraian

Golongan yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah golongan ahli agama Yahudi yang amat arif dengan kitab-kitab suci mereka iaitu golongan yang mendengar kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s di dalam kitab Taurat tetapi kemudiannya mereka mengubah maksud dan membuat penafsiran yang menyeleweng daripada ruang lingkupnya.

Mereka melakukan pemesongan ini bukan kerana tidak mengetahui maksudnya yang sebenar tetapi mereka benar-benar tahu tentang pemesongan itu dan sengaja melakukannya. Mereka melakukan perbuatan ini semata-mata kerana dorongan hawa nafsu dan kepentingan peribadi mereka sendiri.

Golongan yang seumpama inilah sudah pasti menyeleweng lebih jauh lagi daripada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kerana mereka mempunyai hati yang tidak bertanggung jawab dan berpegang teguh dengan kepalsuan yang mereka sendiri mengetahui kepalsuannya.

Sesungguhnya tiada harapan lagi bagi golongan seperti ini akan beriman kerana orang yang beriman itu bersifat mudah, senang dan lembut dan hatinya sentiasa terbuka kepada cahaya iman.

Tabiat orang yang beriman bersifat lurus, malu dan segan melakukan pemesongan dan penyelewengan sedangkan golongan tersebut lebih berkesanggupan menentang dakwah Islam dan mengadakan fitnah ke atasnya.

Kesimpulan

Orang-orang yang beriman hendaklah berhati-hati apabila berdepan dengan golongan Yahudi atau segolongan orang-orang yang mendengar Kalam Allah lalu membenarkan dan beriman kepada ayat-ayat Allah.

Golongan seperti ini tetap ada sebagaimana segolongan manusia yang mendengar Kalam Allah dalam Taurat dan mereka pasti akan membenarkan kebenarannya tetapi tetap menyelewengkannya hanya kerana hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri.

-Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tidak ada komentar: